Guna aplikasi i-Tegur lapor pemcemaran alam sekitar

A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai boleh menggunakan aplikasi Mobile i-Tegur sebagai alternatif bagi membuat laporan berkaitan aktiviti pembuangan sisa bahan kimia yang berlaku di tempat mereka.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, aplikasi berkenaan merupakan satu inovasi baharu yang dibangunkan oleh KPKT untuk memudahkan orang awam membuat sebarang aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi telefon pintar.

"Jika sebelum ini aplikasi tersebut hanya menerima aduan berkaitan kerosakan jalan, bangunan atau seumpamanya namun kini boleh digunakan bagi menyalurkan aduan mengenai ancaman alam sekitar.

Kita harap melalui penggunaan aplikasi ini di mana aduan secara bergambar serta lokasi, maklum balas kepada pengadu akan lebih responsif," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas insiden pencemaran bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang, Johor, beliau berkata sudah masanya denda yang lebih 'menggerunkan' dikenakan kepada mereka yang disabitkan kesalahan berkaitan alam sekitar.

"Bukan itu sahaja, undang-undang tempatan sedia ada berkaitan mencemarkan alam sekitar perlu dinaik taraf kerana perkara ini semakin serius dengan mengambil kira apa yang berlaku di Pasir Gudang sekarang ini," katanya.

Raja Kamarul Bahrin juga menggesa agar penguatkuasaan yang lebih ketat dan pemantauan berterusan dilakukan di kawasan-kawasan berisiko seperti kawasan industri yang berdekatan dengan perumahan berpenduduk padat.

"Pihak berkaitan perlu peka dan sentiasa ambil kira rungutan orang ramai kerana pencemaran bahan kimia khususnya tidak berlaku sekelip mata dan bayangkan jika ia berlaku di tengah-tengah kawasan berpenduduk padat," katanya.- Bernama