Polis saman 215 penjaja di persimpangan lampu isyarat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan telah mengeluarkan sebanyak 215 saman dan 137 tindakan advokasi terhadap peniaga yang menjaja di persimpangan lampu insyarat di seluruh negara.

Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 11 tindakan rampasan turut diambil dalam Ops Khas yang bermula dari 13 hingga 31 Disember tersebut.

Menurutnya, Ops Khas selama 19 hari berkenaan dijalankan untuk mengurangkan risiko kemalangan terhadap pengguna jalan raya dan penjaja itu sendiri.

"Lokasi yang sering berlakunya aktiviti ini adalah di persimpangan lampu insyarat jalan dengan penjaja menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan serta minuman.

"Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, aktiviti jualan seumpama itu adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) yang menyatakan tiada urusan jual beli di persimpangan atau mana-mana jalan raya.

"Individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebih RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nadzri berkata, pihaknya menyeru semua penjaja yang menjual jeruk mangga, atau apa sahaja makanan dan minuman supaya berhenti menjaja di persimpangan lampu insyarat serta persimpangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"JSPT akan terus menjalankan operasi sebegini supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan," ujar beliau.