Macau scam: Guru wanita rugi hampir RM300,000

Macau Scam
Macau Scam
A
A
A

BESUT- Akibat terlalu takut dituduh terbabit dengan kes pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam, seorang guru wanita kerugian RM272,000.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, guru berusia 51 tahun yang bertugas di sebuah sekolah menengah di daerah ini sanggup mengeluarkan wang simpanan bagi membersihkan namanya selepas dituduh sedemikian.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai polis dipercayai ahli sindiket Macau scam.

“Kejadian dikatakan bermula selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita bertanya mengenai penggunaan internet kira-kira-kira jam 1 petang pada 25 November lalu.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek memaklumkan mangsa terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram sebelum suspek memaklumkan boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Mangsa yang ketakutan menurut arahan diberikan sebelum membuat pemindahan wang secara berperingkat ke dalam 11 akaun berlainan membabitkan 67 transaksi yang dilakukan dalam tempoh lima hari bermula 25 November lalu.

“Suspek berjanji akan memulangkan semula wang mangsa dengan alasan urusan dijalankan hanya untuk semakan sementara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zamri berkata, mangsa mula mengesyaki dia ditipu kerana tidak menerima wangnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Zamri menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan butiran peribadi termasuk nombor akaun bank kepada individu tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.