Wasco Energy bantu mangsa banjir di Mentakab

Sukarelawan Wasco Coatings Kuantan membersihkan peralatan milik mangsa banjir dalam misi bantuan syarikat itu di Mentakab
Sukarelawan Wasco Coatings Kuantan membersihkan peralatan milik mangsa banjir dalam misi bantuan syarikat itu di Mentakab
A
A
A

TEMERLOH - Nasib mangsa banjir di negeri ini turut mendapat perhatian Syarikat Wasco Energery dengan misi bantuan ke Mentakab baru-baru ini bagi meringankan beban mangsa terjejas.

Syarikat tersebut telah menggerakkan pasukan yang terdiri daripada 17 sukarelawan dari Wasco Coatings Kuantan ke Mentakab, Pahang bermula 28 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wasco Energy, Giancarlo Maccagno berkata, sebagai sebuah komuniti adalah amat penting pihaknya dapat bersama-sama membantu meringankan beban dan kesusahan rakyat Malaysia semasa bencana alam besar seperti ini.

"Kami menawarkan bantuan untuk menangani keperluan mendesak komuniti terjejas di Malaysia.

"Kami juga berbesar hati kerana dapat menghulurkan sokongan kami pada masa yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pasukan sukarelawan Wasco menghulurkan bantuan ikhlas kepada penduduk yang terjejas menerusi kerja-kerja pembersihan rumah penduduk yang terjejas, selain memindahkan perabot, peralatan mencuci, membuang serpihan dan lumpur di kediaman mereka.

Kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman penduduk turut dilakukan pasukan sukarelawan Wasco Coatings Kuantan.
Kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman penduduk turut dilakukan pasukan sukarelawan Wasco Coatings Kuantan.

"Selain itu, kita turut membekalkan 20 set dapur memasak kepada 20 keluarga, menyediakan dua set jet air tekanan tinggi petrol bergerak, dua tangki 1,000 liter IBC (bekas pukal perantaraan) untuk menyimpan air dan melakukan kerja-kerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

"Usaha pasukan kami turut mendapat sokongan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di mana mereka telah membenarkan pasukan sukarelawan Wasco mengisi semula air bersih di balai polis memandangkan bekalan air di Mentakab terhad," jelasnya.

Sementara itu, seorang penduduk yang terjejas, Yazi Samat, 64, dari Kampung Batu Kapor, Mentakab memuji usaha serta komitmen pasukan sukarelawan Wasco yang terlibat dalam membantu pendudukan yang terkesan akibat banjir.

"Terima kasih atas bantuan, masa dan usaha mereka meringankan beban keluarga saya dan penduduk kampung dengan membersihkan kawasan perumahan kami," jelasnya.

Wasco ialah syarikat infrastruktur tenaga global yang terkemuka dengan perniagaan dalam salutan paip, fabrikasi dan EPCC untuk industri minyak, gas dan tenaga.

Beribu pejabat di Malaysia, Wasco kini mengendalikan kemudahan salutan terbesar di Kuantan, Malaysia, selain turut mengendalikan lima kemudahan salutan lain di Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan Asia.