X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Aktiviti korek pasir Pantai Pasir Panjang tiada kelulusan

Tangkap layar berita mengenai lokasi pendaratan penyu terancam di Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung.
A
A

IPOH - Aktiviti perlombongan pasir seluas 121 hektar di Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung yang didedahkan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) tidak pernah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Perkara itu disahkan Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, bahawa tiada sebarang kelulusan dikeluarkan untuk pengambilan pasir di kawasan tersebut.

Menurutnya, arahan juga sudah dikeluarkan kepada pihak berkaitan untuk menghentikan sebarang kerja-kerja mengambil pasir di kawasan tersebut.

“Tiada kelulusan atau permit diberikan (pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari). Kita sudah mengarahkan semua kerja-kerja berkaitan dihentikan," katanya kepada pemberita pada Isnin ketika mengulas pendedahan aktiviti perlombongan pasir di kawasan tersebut yang dibimbangkan menjejaskan kawasan pendaratan penyu.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Perak turut mengesahkan tiada sebarang kelulusan dikeluarkan bagi tujuan pengeluaran kayu di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop menjelaskan, pihaknya mendapati kawasan berkenaan bukan berstatus hutan simpanan kekal.

Menurutnya, jabatan itu bersama agensi berkaitan akan melakukan semakan lanjut di lapangan bagi memastikan aktiviti penebangan pokok tidak melibatkan kawasan hutan simpan kekal berhampiran.

Pada Ahad, Kuasa dalam kenyataan kepada Sinar Harian kesal apabila masih wujud projek dipercayai perlombongan pasir seluas 121 hektar yang menjejaskan pendaratan penyu Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung.

Timbalan Pengerusinya, Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pantai sepanjang tujuh kilometer itu merupakan satu-satunya lokasi pendaratan penyu di negeri ini yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar tahap satu.

Menurutnya, pantai itu tidak boleh terlibat dengan aktiviti pembangunan lain selain pelancongan terkawal dan penyelidikan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!