Pelajar cemerlang ditawar biasiswa

Ahmad Samsuri bersama pelajar cemerlang SPM 2018 SMK Agama Sheikh Abdul Malek, hari ini.
Ahmad Samsuri bersama pelajar cemerlang SPM 2018 SMK Agama Sheikh Abdul Malek, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri menawarkan biasiswa penuh kepada empat anak Terengganu cemerlang yang memperoleh ‘straight A+’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar yang terlibat ialah Muhammad Hilman Nor Azmi (11A+) dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu, Nurin Batrisyia Mohd Azmi (11A+) dari SM Imtiaz Besut, Amirah Husna Abdul Kahar (9A+) dari SM Sains Sultan Mahmud dan pelajar SM Tengku Lela Segara, Nur Atiqah Syuhadah Hamdan yang memperoleh 9A+.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembiayaan itu dibuat sehingga mereka tamat pengajian selepas Bajet 2019 yang dibentangkan akhir tahun lepas kita memperuntukkan sebanyak RM5 juta biasiswa untuk pelajar cemerlang Terengganu.

“Mereka yang mendapat 'straight A+' ini secara automatik akan ditawarkan. Kita faham mungkin selepas ini banyak peluang atau tawaran lain yang mungkin mereka dapat, tapi terpulang kepada mereka sama ada untuk terima biasiswa ini atau terima tawaran lain.

“Pemberian biasiswa ini sebenarnya bukan daripada saya atau kerajaan negeri tapi daripada rakyat Terengganu. Saya yakin penerima biasiswa ini adalah pejuang terbaik yang tidak akan menghampakan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Permuafakatan Akademik, Penetapan Target PT3, SPM dan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-24 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini, hari ini.

Menururnya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM10 juta bagi pinjaman pendidikan untuk anak-anak negeri ini.

“Kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh terhadap apa jua program kecemerlangan pendidikan yang sedang dan akan dibuat JPNT, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan JPNT dan ada perkara yang dibentangkan kepada kerajaan negeri tentang keperluan mereka dan Insya-ALLAH, kita ambil maklum untuk tindakan,” katanya.