Kena bijak buat pilihan untuk Harimau Muda

Skuad muda negara semasa aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia.
Skuad muda negara semasa aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia.
A
A
A

SKUAD Bawah 23 (B-23) tahun negara perlu bijak memilih sasaran utama kejuaraan yang mahu diraih berikutan kepadatan jadual pertandingan pada 2022 supaya tidak berputih mata di penghujung tahun.

Itu pesanan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail terhadap skuad masa depan negara tersebut selepas mara secara merit ke kejuaraan Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun ini.

“Sebenarnya kita patut bangga apabila skuad B-23 Brad Maloney berjaya melabuh kalender bola sepak negara dengan noktah cemerlang dan penawar pada 2021 selepas dibayangi prestasi turun naik tidak menentu skuad senior negara.

“Cumanya yang menjadi kebimbangan saya adalah burn out awal dalam kalangan para pemain muda negara sekiranya pengurusan tidak bijak meletakkan sasaran untuk skuad ini.

“Pada 2022, saya difahamkan terdapat empat kejuaraan yang bakal dihadapi para pemain muda negara ini bermula Piala AFF, Sukan SEA, Piala Asia diikuti Sukan Asia yang semuanya berintensiti tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Kata Jamal Nasir lagi, satu kejuaraan dalam kalangan empat kejuaraan yang dijangka bakal diharungi skuad Maloney, perlu disasarkan sebagai kejuaraan indeks prestasi tinggi (KPI) buat skuad muda negara.

“Mungkin bagi kejuaraan Piala AFF, Sukan SEA, FAM perlu meletakkan sasaran sederhana bagi membolehkan Maloney menguji momentum para pemainnya selepas mencorakkan taktikal pasukan.

“Kemudiannya menjadikan salah satu antara Piala Asia atau Sukan Asia sebagai sasaran utama yang perlu diutamakan diraih pada 2022.

Artikel Berkaitan:

“Pada pengalaman saya, adalah sukar untuk meletakkan sasaran empat kejuaraan - Piala AFF, Sukan SEA, Piala Asia dan Sukan Asia dengan misi juara. Sebaliknya lebih relevan untuk memfokuskan sepenuh tumpuan kepada satu kejuaraan yang lebih realistik berdasarkan keupayaan skuad muda negara,” katanya.

Jelas Jamal Nasir lagi, kejayaan dilakar skuad B-23 semasa aksi kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia masih memerlukan penambahbaikan untuk mengharungi empat penting tahun ini.

“Bukan menidakkan keupayaan barisan skuad B-23 di Mongolia sebelum ini, namun hakikatnya beberapa penambahbaikan perlu diperbaiki lebih awal bagi mengharungi kejuaraan terutamanya lawan yang lebih berdaya saing.

“Setidak-tidaknya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merangka tiga atau empat perlawanan persahabatan lebih kompetitif di luar negara terutamanya di negara-negara Arab paling tidak pun menentang pasukan negara jiran seperti Thailand, Indonesia atau Vietnam.

“Pada tahap skuad Maloney sekarang dalam sebarang keadaan sekali pun, perlawanan persahabatan perlu bersifat skuad negara menentang skuad negara, bukan skuad negara menentang pasukan kelab bagi menguji kemantapan gandingan,” katanya.