Komuniti bola sepak tenang menanti kalendar fleksibel Liga-M 2022

The Supporters antara penyokong setia yang sering memberi sokongan padu kepada kelab kesayangan mereka dalam saingan Liga-M. -Foto: Perak FC
The Supporters antara penyokong setia yang sering memberi sokongan padu kepada kelab kesayangan mereka dalam saingan Liga-M. -Foto: Perak FC
A
A
A

ISU pandemik Covid-19 masih merupakan antara elemen akan mewarnai iklim komuniti sukan dunia pada 2022 dengan kepelbagaian ketidaktentuan ketika masyarakat seluruh dunia masih berusaha membiasakan diri hidup bersama wabak Covid-19.

Tidak terkecuali juga komuniti sukan negara ini khasnya bola sepak terutamanya saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dijangka diuji sekali lagi kekentalan mendepani aura wabak ini seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perjalanan Liga-M 2021 sebelum ini.

Musim 2021 sewajarnya mematangkan pengendali Liga-M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk lebih bijak menyusun jadual perlawanan musim depan memastikan situasi menang-menang tidak hanya untuk pentadbir liga itu tetapi juga dalam kalangan pemegang taruh badan tersebut.

Pada masa sama jadual baharu 2022 perlu menyelami aspirasi tetapi juga pemegang taruh utama bola sepak negara iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menguruskan persediaan skuad kebangsaan - pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 hingga 14 Jun selain kejuaraan Piala Suzuki AFF 2022.

Kepadatan jadual pada musim 2021 sebelum ini sebenarnya secara tidak langsung kepada kelab-kelab Liga-M terutamanya kelab berstatus sederhana dalam menyediakan pasukan yang mantap dalam mencabar kejuaraan.

Kurangnya masa dalam kalangan para pemain untuk recovery antara elemen yang mengundang kepada kepenatan seterusnya kecederaan kebiasaannya diperkatakan dalam kalangan komuniti bola sepak sepanjang musim lalu.

Penyusunan kalendar musim 2022 yang lebih baik berbanding musim 2021 secara tidak langsung akan memberikan lebih peluang kepada pengendali setiap kelab Liga-M mengoperasikan pasukan masing-masing pada tahap optimum.

Selain itu, ia penting bagi membolehkan para pemain dapat memberikan aksi terbaik masing-masing tidak hanya untuk kelab yang diwakili tetapi juga skuad kebangsaan yang sememangnya memerlukan setiap pemain berada pada prestasi terbaik.

Artikel Berkaitan:

Biarpun begitu dengan ketidaktentuan suasana Covid-19 semasa seperti yang melanda di beberapa liga utama Eropah terutamanya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), MFL sudah boleh merangka jadual yang lebih kompetitif dan fleksibel.

Situasi yang melanda saingan liga paling popular dunia itu secara tidak langsung menyaksikan penangguhan beberapa perlawanan selepas beberapa pemain kelab didapati positif Covid-19.

Penangguhan perlawanan secara tidak langsung menyebabkan saingan akan menjadi lebih padat untuk kelab berprofil tinggi sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan beberapa pengurus kerana menjejaskan persediaan untuk saingan fasa lebih mencabar saingan kelab Eropah.

Senario yang berlaku ini sebaiknya dikemaskini pentadbir liga bola sepak negara apatah lagi beberapa kelab dijangka bertanding dalam kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

MFL juga boleh menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel bagi saingan kejuaraan Piala FA, Piala Cabaran dan Piala Malaysia dengan mengadakan saingan secara kalah mati bermula dari fasa pertama pertandingan.