Naik taraf bekalan tenaga di menara komunikasi elak putus hubungan

Annuar (kiri) menyaksikan agihan sumbangan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail (dua dari kanan) kepada penerima
pada Majlis Penyerahan Kotak Kasih KKMM Dan Bantuan Rumah Prihatin di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba, Yayasan Kemisiknan Kelantan (YKK) di Melor, Kota Bharu pada Ahad.
Annuar (kiri) menyaksikan agihan sumbangan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail (dua dari kanan) kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kotak Kasih KKMM Dan Bantuan Rumah Prihatin di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba, Yayasan Kemisiknan Kelantan (YKK) di Melor, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mahu pengendali telco menaik taraf bekalan tenaga di menara telekomunikasi yang sering ditenggelami banjir bagi mengelakkan sistem perhubungan terputus ketika musibah itu berlaku.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara langkah yang boleh diambil pihak pengendali ialah dengan memindahkan kotak suis utama tenaga ke tempat lebih tinggi sekurang-kurangnya 3.05 meter dari takat paras air yang sering menenggelamkan kawasan menara itu.

"Buat masa ini jika banjir berlaku dan kotak utama sumber tenaga tenggelam menyebabkan menara telekomunikasi hanya mampu bertahan selama empat jam.

"Hal ini kerana kita menggunakan bekalan tenaga daripada bateri sebelum bantuan lain sampai," katanya di Majlis Penyerahan Kotak Kasih KKMM Dan Bantuan Rumah Prihatin di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba, Yayasan Kemisiknan Kelantan (YKK) di Melor pada Ahad.

Menurutnya, sistem bekalan tenaga di kawasan menara itu perlu kekal konsisten supaya penduduk yang terperangkap musibah itu dapat terus berhubung bagi mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pengalaman banjir baru-baru ini dan bah kuning 2014 lalu, KKMM mengambil serius perkara tersebut kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, berdasarkan rekod KKMM mengenalpasti 1,000 menara telekomunikasi yang sering terdedah dengan risiko banjir.

"KKMM turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pembinaan menara telekomunikasi dibuat secara berkembar dengan elektrik supaya tiada lagi masalah gangguan bekalan ketika musim banjir.

Artikel Berkaitan:

"Dicadangkan pada masa hadapan khususnya bahagian peralatan setiap pencawang tidak lagi dibuat di kawasan rendah (atas tanah) yang boleh ditenggelami banjir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, pihaknya akan memperkemaskan lagi sistem penyampaikan maklumat berkaitan musibah banjir pada masa hadapan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat jelas dan tepat mengenai banjir sebagaimana modul dibuat oleh negara maju.