Mangsa banjir di lima negeri meningkat, dua negeri menurun

Bilangan mangsa banjir di Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tengah hari pada Ahad, manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.
Bilangan mangsa banjir di Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tengah hari pada Ahad, manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tengah hari pada Ahad, manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,161 orang daripada 399 keluarga pada tengah hari berbanding 717 orang daripada 212 keluarga pagi Ahad.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 18 kawasan di Telupid terjejas banjir diikuti Kota Marudu (10), manakala Paitan, Beluran dan Sandakan masing-masing satu kawasan terjejas.

Lima PPS baharu turut dibuka di Kota Marudu menjadikan keseluruhan tujuh PPS dibuka, bagi menempatkan 969 orang daripada 353 keluarga, manakala satu PPS baharu dibuka di Telupid dengan keseluruhan tiga PPS beroperasi bagi menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga.

Dua PPS dibuka di Paitan (50 orang daripada 13 keluarga) sementara satu PPS di Beluran (38 orang daripada lapan keluarga) dan satu PPS di Sandakan yang menempatkan 61 orang daripada 17 keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir gelombang kedua meningkat tengah hari pada Ahad, kepada 986 orang berbanding 649 orang pagi Ahad dengan jumlah keseluruhan PPS beroperasi setakat ini sebanyak 38 buah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan Jerantut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir gelombang kedua selepas Raub, Lipis, Maran, Bera dan Rompin.

Bagi banjir besar yang bermula 18 Disember lepas, 11 PPS masih beroperasi di Temerloh dan Pekan bagi menempatkan 1,063 mangsa, manakala sebuah PPS terakhir di Bentong ditutup tengah hari pada Ahad apabila kesemua 92 penghuni terakhirnya dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Sekretariat itu juga melaporkan beberapa lokasi di enam jalan ditutup iaitu di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut) dan Jalan Temerloh-Jerantut serta Jalan Paya Luas-Perlok kedua-duanya di Temerloh.

Portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tujuh sungai telah melebihi paras bahaya dengan tiga daripadanya di Lipis iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah, Sungai Lipis di Benta dan Sungai Jelai di jeti Lipis, selain Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut), Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Padang Gudang (Bera) dan Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit pada jam 12 tengah hari pada Ahad kepada 1,225 mangsa membabitkan 313 keluarga berbanding 1,122 orang daripada 279 keluarga pada jam 8 pagi Ahad.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, tujuh kawasan di Melaka Tengah dan tiga kawasan di Jasin.

"Seramai 682 mangsa daripada 186 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah, manakala 493 mangsa daripada 117 keluarga ditempatkan di enam PPS di Melaka Tengah serta 50 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di dua PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Di JOHOR, Kota Tinggi menjadi daerah ketiga terjejas banjir dengan jumlah mangsa meningkat kepada 1,827 orang daripada 466 keluarga setakat jam 12 tengah hari Ahad berbanding 1,646 orang daripada 425 keluarga yang direkodkan jam 8 pagi Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, terdapat pertambahan empat PPS iaitu tiga di Segamat dan satu di Kota Tinggi, menjadikan keseluruhan 32 PPS telah dibuka dengan 30 PPS di Segamat, manakala masing-masing satu PPS di Kota Tinggi dan Tangkak.

“Di Kota Tinggi, seramai 16 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia, Pengerang manakala di Tangkak pula, seramai 40 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di Sekolah Agama Bandar Tangkak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dua sungai masih merekodkan paras melepasi bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatatkan 9.28 meter (m) dan Sungai Tangkak di Kampung Sri Makmur, Tangkak pada paras 4.29 m manakala empat sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar dengan paras 2.03 m; Sungai Muar di Buloh Kasap, Muar, (8.9 m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (5.95 m) dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak, mencatatkan paras 3.3 m.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 18 PPS di negeri itu meningkat kepada 2,166 orang daripada 555 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 1,767 orang daripada 460 keluarga membabitkan 16 PPS pagi Ahad.

Di KELANTAN, menurut aplikasi yang sama, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat jam 12 tengah hari iaitu 255 orang daripada 94 keluarga berbanding 308 orang daripada 109 keluarga, pagi tadi melibatkan tiga PPS di Kuala Krai dan Jeli.

Sementara itu, portal rasmi JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya manakala empat sungai merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai; Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

Di TERENGGANU, susulan penutupan satu PPS di Kemaman, jumlah mangsa banjir merekodkan sedikit penurunan kepada 137 orang daripada 42 keluarga tengah hari Ahad berbanding 147 orang daripada 44 keluarga pagi Ahad, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Dungun menjadi satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir dengan dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga diikuti Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Portal rasmi JPS memaklumkan tiada stesen bacaan sungai yang melepasi paras bahaya namun, dua sungai masih merekodkan ketinggian melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman. - Bernama