Ayob Khan ingatkan kontinjen Johor jaga integriti

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) kepada Pemangku Ketua Polis Johor iaitu Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin di IPK Johor hari ini.- Foto Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) kepada Pemangku Ketua Polis Johor iaitu Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin di IPK Johor hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan setiap pegawai dan anggota polis di negeri ini agar sentiasa menekankan aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah dalam menjalankan tugas.

Beliau menegaskan bahawa integriti cukup penting kepada setiap pegawai dan anggota polis tanpa mengira pangkat, mahupun jabatan bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada anggota masyarakat.

"Sejak Februari 2020, ketika mula menerajui polis Johor, saya sentiasa menekankan aspek integriti ini biarpun mungkin akan ditohmah, dikritik dan dikecam.

"Malah tiada sebarang salah laku, bersekongkol jenayah, dadah mahupun penyeliaan yang tidak telus. Penyampaian perkhidmatan perlu sentiasa diperkemaskan dari masa ke masa. Orang tidak akan mendengar apa yang kita cakap, tetapi orang akan melihat apa kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Januari 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad yang merupakan hari terakhirnya di kontinjen Johor.

Ayob Khan turut mengucapkan selamat tinggal kepada polis kontinjen Johor apabila bakal mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pengarah jabatan itu bermula Selasa.

Jawatan Ketua Polis Johor itu akan dipangku oleh Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin selama dua minggu sebelum disandang oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis yang sama, turut diadakan serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis ( Perkep) Kontinjen Johor antara Datin Zalena Mohd Ariffin dan Sharifah Mazni Syed Kassim.

Sementara itu, Ayob Khan dan isterinya, Zalena turut berbesar hati menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Perkep Kontinjen Johor.

Pada masa sama, Perkep Kontinjen Johor turut menerima wang kurnia RM10,000 daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan sumbangan Menteri Besar Johor sebanyak RM25,000.