Rangnick mahu kukuh benteng United

Lindelof diharap dapat beraksi perkukuh benteng United. - Foto Manchester Evening News
Lindelof diharap dapat beraksi perkukuh benteng United. - Foto Manchester Evening News
A
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick dilaporkan mahu mengukuhkan benteng pertahanan skuad The Red Devils itu menjelang aksi berdepan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford pada Selasa.

Pengendali berbangsa Jerman itu turut mengharapkan tonggak pertahanan Sweden Victor Lindelof serta Raphael Varane (Perancis), bersedia untuk beraksi bagi memantapkan benteng pertahanan United.

Malah Rangnick turut berharap agar Lindelof yang sebelum ini berdepan kesukaran bernafas gara-gara disahkan positif Covid-19 untuk segera sembuh setelah selesai menjalani proses isolasi.

“Saya sangat berharap agar Lindelof (Victor) dan Varane (Raphael) dapat beraksi untuk perlawanan kali ini walaupun telah terlepas untuk beraksi berdepan Newcastle dan Burnley baru-baru ini.

“Dia pun tidak memiliki apa-apa simptom setakat ini dan sekiranya selepas ujian calitan PCR ke atasnya selepas ini negatif, dia boleh beraksi bagi memperkuatkan benteng pertahanan kami.

“Selain itu Varane (Raphael), telah membuktikan kemampuannya apabila beraksi baik ketika berdepan Newcastle pada 28 Disember dan sekali gus membuktikan bahawa dia telah sembuh daripada kecederaan paha yang dialaminya sejak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara berdepan Atalanta, November lalu,” katanya.

United yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Burnley Jumaat lalu, turut mengukuhkan kedudukan pada tangga ke tujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 31 mata setelah mengharungi 18 perlawanan setakat ini.

Dalam masa sama, Rangnick turut berharap agar pertahanan Ivory Coast, Eric Bailly turut bersedia untuk beraksi bagi memastikan benteng skuad The Red Devils itu benar-benar kukuh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Bailly yang dipanggil semula bagi memperkuatkan United biarpun sedang dalam persiapan untuk tugasan antarabangsa bersama Ivory Coast dalam Kejohanan Negara-Negara Afrika 9 Januari ini, telah beraksi cemerlang ketika berdepan Burnley, Jumaat lalu.

“Eric (Bailly) sudah pun berlepas untuk menyertai latihan skuad Ivory Coast, tetapi kami memanggilnya semula setelah mendapat tahu dia masih berada di Sepanyol ketika itu.

“Ternyata, dia telah beraksi dengan baik ketika berdepan Burnley dan dia kelihatan sangat fokus biarpun sedang dalam perjalanan untuk tugasan antarabangsa bersaama negaranya,” katanya.