Amaran kepada peniaga ambil kesempatan pada musim banjir

Rosol (kanan) meninjau harga sayur-sayuran sempena SHMKM di sebuah pasar raya di Temerloh pada Sabtu.
Rosol (kanan) meninjau harga sayur-sayuran sempena SHMKM di sebuah pasar raya di Temerloh pada Sabtu.
A
A
A
TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berkompromi dengan peniaga yang cuba mengaut untung berlebihan serta mengambil kesempatan ketika musim banjir dengan menaikkan harga barangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian peka bahawa ramai yang kehilangan punca pendapatan dan mengalami kemusnahan serta kerosakan harta benda akibat bencana itu.

"Peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga dan mengenakan harga tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya ketika tinjauan dan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Raya TF Temerloh di sini pada Sabtu.

Menurut Rosol, kementerian peka dengan situasi musim tengkujuh yang sedang dihadapi ketika ini yang berisiko menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan sekali gus kemungkinan berlaku kemusnahan kawasan tanaman akibat banjir atau tanah runtuh.

"Selain melaksanakan kawalan harga terhadap barangan asas terpilih menerusi SHMKM, kementerian melipatgandakan pemantauan di lapangan untuk memastikan pematuhan peniaga terhadap skim tersebut berterusan dan kestabilan bekalan serta harga barangan di pasaran dapat dinikmati pengguna," kata beliau.

Mengulas tempoh pelanjutan penguatkuasaan SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022, Rosol berkata, langkah tersebut bertepatan dengan situasi semasa bencana banjir yang melanda di beberapa negeri kerana ia membolehkan rakyat menikmati harga runcit barangan asas pada harga stabil dan tidak menekan pengguna.

"Ini adalah antara inisiatif dan komitmen kementerian untuk terus memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutama dalam tempoh pemulihan daripada bencana banjir baru-baru ini," kata beliau.

Sementara itu, Rosol memaklumkan, sejak SHMKM dilaksanakan bermula dari 7 hingga 31 Disember 2021, sebanyak 25,897 premis di seluruh negara telah diperiksa.

"Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 85 tindakan kes diambil membabitkan nilai kompaun berjumlah RM20,000 atas kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan dan tidak meletakkan tanda harga.
Artikel Berkaitan:


"Secara keseluruhannya, kementerian berpuas hati dengan tahap pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan SHMKM dan berharap peniaga terus memberikan kerjasama baik sepanjang skim ini dikuatkuasakan sehingga 4 Februari depan," kata beliau lagi.

Tambah Rosol, terdapat sebahagian peniaga yang menjual 12 barangan harga terkawal di bawah SHMKM iaitu kategori ayam, telur dan beberapa jenis sayuran pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan menunjukkan semangat Keluarga Malaysia yang tinggi dalam kalangan peniaga.

Menurutnya, kementerian mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan lain.

Katanya, ia termasuk perkakasan sekolah, peralatan dan kelengkapan rumah, pakaian dan lain-lain keperluan selepas pascabanjir dengan meningkatkan pemeriksaan serta penguatkuasaan di lapangan.