PH takut hilang kuasa: Hasmuni

Hasmuni Hassan
Hasmuni Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Pemuda UMNO menyelar Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang diibaratkan umpama ‘cacing kepanasan’ sekali gus membuktikan ketakutan PH berisiko kehilangan kuasa di beberapa negeri seperti Perak dan Kedah.

Datuk Hasmuni Hassan berkata, kenyataan Mahfuz yang mengatakan kerjasama UMNO-Pas sebagai sentimen perkauman dan agama disifatkan berbaur hasutan selain cuba mewujudkan konflik sosial antara kaum.

Menurutnya, ia adalah tindakan provokasi dan tidak matang yang dilakukan seorang menteri Kabinet.

“Saya percaya jauh di lubuk hati beliau, memahami konsep kerjasama UMNO-Pas adalah atas penyatuan ummah atau Ta’awun Siyasi yang bakal meniupkan semangat nasionalis kalangan bumiputera, seperti zaman ketika menuntut kemerdekaan,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu itu berkata, bagi menjamin kelangsungan parti selain cuba menggambarkan Amanah masih relevan, Mahfuz didakwa cuba melontarkan tohmahan terhadap UMNO dan Pas sehingga mempertaruhkan keharmonian kaum dan agama demi kepentingan kuasa politik.

“Beliau sanggup melabel parti yang pernah ditunjanginya dahulu sebagai penyebar dakyah palsu. Jangan lupa, Bersatu dan Amanah sebenarnya yang diperalatkan DAP untuk menguasai politik negara,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Mahfuz disifatkan kebudak-budakan dan menggambarkan kefahaman beliau berhubung konsep Ta’awun Siyasi amat rendah.

“Pernikahan UMNO-Pas berteraskan Islam yang bakal mengangkat kembali siyasah daulah yang memartabatkan kepentingan agama Islam, Melayu dan bumiputera, tanpa menafikan hak kepentingan kaum dan agama lain. Apakah Mahfuz gelabah melihat sokongan majoriti rakyat kini kepada UMNO/Pas, sebaliknya kemarahan rakyat beralih kepada PH?” katanya, sinis.

Artikel Berkaitan:

Hasmuni mendakwa, konflik dalaman PH semakin menyerlah, sehingga parti komponennya cuba menjaga periuk nasi masing-masing menerusi strategi hasutan.

“Saya percaya rakyat berasakan dengan mengembalikan kuasa politik kepada UMNO dan Pas adalah solusi terbaik mentadbir negara yang sedang gawat, kerana parti ini lebih berpengalaman dan bukan alat kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Menurutnya, rakyat sudah mula menyedari prestasi BN sebagai kerajaan jauh lebih baik berbanding PH, yang didakwa asyik berpolitik, keliru serta gagal memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat.

“Pengalaman UMNO mentadbir, diperkasakan kerjasama Pas yang berpengalaman mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu, serta mementingkan kesejahteraan rakyat tanpa menganaktirikan Melayu, memberi kelebihan untuk kita kuasai kembali kerajaan,” katanya.

Hasmuni yakin rakyat melihat bentuk kerjasama UMNO-Pas itu sebagai rahmatan lil alamin, yang membawa keadilan dan kesejahteraan lebih baik.

Pada Selasa, Mahfuz menyifatkan Pas seperti menanggung ‘biawak hidup’ selepas parti itu bekerjasama dengan UMNO untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerjasama itu lebih kepada penyebaran pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama. Malah menyifatkan Pas sanggup melakukan ‘tipu syarie’ bagi mencapai hasrat mereka.