Sila log masuk terlebih dahulu.

STL: Kuala Lumpur Thunder sasar podium

Mohd Sumali bersama pengurus, jurulatih dan para pemain Kuala Lumpur Thunder.
Mohd Sumali bersama pengurus, jurulatih dan para pemain Kuala Lumpur Thunder.
A
A
A

JUARA Liga Sepak Takraw (STL) 2020, Kuala Lumpur Thunder menyifatkan sasaran kedudukan podium pada saingan musim 2021/22 sebagai sesuatu yang realistik bagi regu warga kota tersebut.

Malah menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Datuk Mohd Sumali Reduan, Kuala Lumpur Thunder yang berstatus juara berganda lebih selesa memulakan sebagai pasukan bukan pilihan dalam menyingkap saingan kali ini.

Namun begitu jelas Sumali, beliau percaya para pemainnya akan berusaha untuk mengekalkan momentum dan sentiasa akan memberikan persembahan yang terbaik walaupun tidak menggunakan khidmat import dalam kejuaraan kali ini.

“Misi musim STL 2021/22, Kuala Lumpur Thunder menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam saingan liga. Ini merupakan sasaran realistik yang perlu dicapai dengan adanya Syahir Rosdi, Azlan Alias, Amirul Zazwan, Ahmad Aizat dan Redwan Hakim sebagai pemain kebangsaan.

“Sementara saya percaya kehadiran Hanafiah Dolah sebagai bekas pemain kebangsaan dan juga Rizal Maamor akan memastikan regu Kuala Lumpur Thunder ini konsisten dalam memberikan saingan seterusnya melakar keputusan yang terbaik.

“Walaupun Kuala Lumpur Thunder kehilangan khidmat jurulatih Azhar Sarabini tetapi saya percaya kemampuan dan kewibawaan jurulatih Rashidi Nordin yang berstatus jurulatih skuad kebangsaan pada ketika ini. Saya percaya beliau mampu menghasilkan keputusan positif untuk Kuala Lumpur Thunder,” katanya.

Persewip sebelum itu melancarkan Majlis Pengenalan Pasukan STL 2021/22 di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur yang disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Untuk rekod, Kuala Lumpur Thunder akan menyingkap kempen musim ini menentang Bomba Fighters bagi merebut Piala Sumbangsih.

Artikel Berkaitan:

INFO

Kuala Lumpur Thunder

2015 - Naib Juara STL (Kuala Lumpur City Flyers)

2016 - Naib Juara STL

2017 - Naib Juara STL

2018 - Ketiga STL

2019 - Ketujuh STL

2020 - Juara STL & Juara STL Champions Cup