Banjir di Johor bertambah buruk

Keadaan banjir di Kampung Paya Lebar Batu Anam Segamat pada Sabtu.
Keadaan banjir di Kampung Paya Lebar Batu Anam Segamat pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di Johor melibatkan daerah Segamat dan Tangkak semakin buruk pada sebelah malam dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat kepada 1,167 berbanding 1,080 orang pada petang Sabtu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 297 keluarga yang kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, tiga PPS merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang seramai 267 mangsa daripada 73 keluarga, Dewan SK Batu Anam (256 mangsa daripada 70 keluarga) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun pula 169 mangsa daripada 38 keluarga.

"Sementara itu, di daerah Tangkak hanya sebuah PPS dibuka iaitu di Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga," katanya dalam satu kenyataan.

Vidyananthan berkata, Sungai Segamat di Bandar Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur dilaporkan berada pada paras bahaya setakat jam 7.30 petang Sabtu.

"Sungai Segamat di Bandar Segamat berada di paras 9.82 meter (m) berbanding aras bahaya 9.14m, manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur berada di paras 4.29m berbanding paras bahaya 4.00m," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan empat jalan di daerah Mersing dan Segamat ditutup akibat dinaiki air.

"Di Mersing, jalan yang ditutup ialah Jalan ke Kampung Orang Asli Peta dinaiki air kira-kira satu meter dan Jalan ke Kampung Orang Asli Punan (0.5m).

Artikel Berkaitan:

"Jalan di Segamat yang ditutup ialah Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurong (0.5m) dan Jalan Bangas Kampung Sungai Loi (0.6m)," kata kenyataan itu.