Reman Long Tiger, tiga lelaki disambung hingga Isnin

Long Tiger
Long Tiger
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tempoh reman ke atas Long Tiger, lelaki etnik Rohingya yang ditahan semula selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lepas, disambung dua hari lagi hingga Isnin depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan berkata, tiga lagi lelaki dipercayai rakan Long Tiger, turut disambung reman bagi tempoh sama.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaafar membenar lanjutan reman tersebut menerusi permohonan di Mahkamah Majistret Tangkak, pada Sabtu.

Sebelum ini, Long Tiger atau Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dan tiga lelaki berusia 36, 38 dan 46 tahun dibenarkan direman empat hari bermula Rabu lepas hingga Sabtu oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Abdul Hamim yang berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Disember lepas disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lelaki itu mengikut Seksyen 216 kanun sama kerana menyembunyikan tahanan.

Pada 15 Disember lepas, Abdul Hamim dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi sebelum bermula perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Abdul Hamim pada masa sama turut berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta Seksyen 376 kanun sama kerana merogol.-- Bernama

Artikel Berkaitan: