X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan digesa pantau kilang kimia seluruh negara

Che Alias
A
A

KUALA TERENGGANU- Kerajaan digesa membuat penguatkuasaan dan memantau semua kilang yang memproses bahan kimia di seluruh negara, susulan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, undang-undang yang tegas perlu dilaksana dan dikuatkuasakan manakala semua kilang yang memproses bahan kimia di seluruh negara perlu diperiksa dalam masa terdekat.

“Keselamatan persekitaran negara dan pengurusan sisa pepejal termasuk sisa kimia perlu dijaga dan diselia sebaik-baiknya bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku. Rakyat akan meneliti dan menilai setiap tahap penguatkuasaan dan sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan.

“Kementerian dan Jabatan Alam Sekitar perlu membuat pemeriksaan secara besar-besaran, lebih-lebih lagi kilang haram mahupun kilang yang melanggar peraturan atau garis panduan yang ditetapkan dalam pelupusan sisa kimia bagi mengelakkan kejadian ini berulang lagi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Polis siasat kes sisa toksik di Pasir Gudang

ARTIKEL BERKAITAN Sebilangan penduduk tinggalkan Pasir Gudang

Jelas Che Alias, kerajaan juga harus meneliti dan mengkaji semula kilang-kilang kimia yang dibina berdekatan dengan kawasan tumpuan penduduk dan punca sumber air, khususnya sungai di seluruh negara.

Katanya, mana-mana kilang yang tidak mengikut piawaian dan peraturan yang ditetapkan perlu segera diambil tindakan dan diarah tutup.

“Perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah mengundang kesan yang teruk bukan sahaja menjejaskan ekosistem iaitu sumber air, makanan, habitat haiwan dan kandungan tanah tetapi turut mengancam keselamatan dan nyawa manusia.

“Persoalannya, adakah peruntukan undang-undang hari ini setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dengan isu ini kerana ia melibatkan nyawa manusia?,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus