23 individu sambut tahun baharu di pusat hiburan ditahan

Rahimi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Sabtu.
Rahimi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 23 individu termasuk empat wanita ditahan dalam parti persendirian yang diadakan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, di sini awal pagi Sabtu.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan dalam Ops Noda Ambang Tahun Baharu.

Difahamkan bunyi muzik kuat dari dalam premis menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu apabila mereka enggan membuka walaupun sudah diketuk berulang kali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, kesemua mereka ditahan kerana berkumpul tanpa penjarakan sosial dengan berhibur tanpa kebenaran.

Menurutnya, pelbagai peralatan digunakan untuk tujuan hiburan turut dirampas antaranya televisyen, pembesar suara dan pemain DVD.

"Siasatan dilakukan mendapati pada mulanya mereka hadir majlis makan dan kemudian majlis itu bertukar mungkin mereka teruja untuk sambut tahun baharu.

"Disebabkan perasaan teruja itu mereka tidak mengendahkan SOP dan berlakunya pelanggaran di bawah Enakmen Pusat Hiburan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Serbuan yang berakhir pada jam 3 pagi itu diketuai Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Rahimi berkata, seramai 144 individu ditahan atas pelbagai kesalahan narkotik dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM17,388.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 16 individu ditahan secara berasingan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut mengeluarkan 1,301 keping saman atas pelbagai kesalahan dalam 42 sekatan jalan raya yang dilakukan pada malam ambang tahun baharu.

"Dalam operasi sama sebanyak 52 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dan tiga individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.