1,528 serbuan kes judi dalam talian sepanjang tahun 2021

Serbuan meningkat sebanyak 749 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu peningkatan sebanyak 96 peratus berbanding tahun 2020. - Foto fail Bernama
Serbuan meningkat sebanyak 749 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu peningkatan sebanyak 96 peratus berbanding tahun 2020. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,528 serbuan melibatkan judi dalam talian dijalankan sepanjang tahun 2021 berbanding 779 serbuan pada 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, serbuan meningkat sebanyak 749 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu peningkatan sebanyak 96 peratus berbanding tahun 2020.

"Seramai 2,933 individu pula ditahan di bawah akta kesalahan berkaitan judi dalam talian, 'calling centre', judi loteri haram tanpa lesen, judi bookie dan judi di tempat bebas/dalam bangunan bagi tahun 2021 sementara tahun 2020 mencatatkan tangkapan seramai 2,051 individu atas pelbagai kesalahan judi sekali gus mencatatkan peningkatan tangkapan seramai 882 individu iaitu bersamaan 43 peratus.

"Bagi rampasan wang tunai pula, sebanyak RM1,128,544 berjaya dirampas pada 2021 berbanding RM637,563 pada 2020," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Abd Jalil, jumlah kertas siasatan pada 2021 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 581 kes iaitu bersamaan 75 peratus.

"Sebanyak 1,528 kertas siasatan dibuka pada 2021 dan daripada jumlah itu, sejumlah 1,142 kes berjaya dituduh berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 779 kertas siasatan dibuka dan 561 kes berjaya dituduh.

"Seramai 162 individu telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) bagi tahun 2020 manakala tahun 2021, seramai 20 individu diambil tindakan di bawah akta pencegahan sama," katanya.

Artikel Berkaitan: