Perarakan pedati sempena Thaipusam dibenarkan di Pulau Pinang

Perarakan membawa pedati sempena Thaipusam pada 18 Januari ini dibenarkan di Pulau Pinang. - Foto fail Bernama
Perarakan membawa pedati sempena Thaipusam pada 18 Januari ini dibenarkan di Pulau Pinang. - Foto fail Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Perarakan membawa pedati sempena Thaipusam pada 18 Januari ini dibenarkan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai perarakan pedati itu pada minggu hadapan selaras dengan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mungkin acara yang biasa diadakan sebelum ini seperti perarakan kavadi tidak akan diadakan sempena Thaipusam tahun ini disebabkan oleh pematuhan SOP.

“Namun begitu, perarakan pedati akan tetap diadakan di beberapa lokasi terpilih sahaja dan tidak akan berhenti di semua tempat seperti sebelum pandemik. Semua keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) berkata, pihaknya dan pihak kuil di seluruh negeri akan memberikan kerjasama kepada polis bagi memastikan perarakan pedati tidak akan melanggar pematuhan SOP.

Setiap tahun, ribuan penganut Hindu akan berjalan kaki mengikuti perarakan pendati sejauh lapan kilometer, sebelum sampai ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani dan Kuil Nattukkottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga di George Town, dekat sini semasa sambutan Thaipusam. - Bernama

Artikel Berkaitan: