Kereta terbabas masuk parit, penumpang maut

Seorang pekerja kilang maut selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke dalam parit.
Seorang pekerja kilang maut selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke dalam parit.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pekerja kilang maut selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke dalam parit berikutan jalan licin di Kilometer 22.2 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa Muhammad Zulfikri Mohd Zailani, 22, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya, Muhammad Fawwaz'aqil Zailani, 25, yang juga peniaga mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang belakang dalam kemalangan jam 11.45 pagi Sabtu.

"Siasatan awal mendapati Muhammad Fawwaz'aqil sedang memandu kereta jenis Honda Accord dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit susulan keadaan jalan yang licin disebabkan hujan renyai ketika itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Akibat kemalangan itu, beliau berkata, Muhammad Zulfikri yang merupakan penumpang di bahagian depan maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Fawwaz'aqil yang cedera parah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan susulan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. - Bernama

Artikel Berkaitan: