Mangsa banjir di Kota Marudu kekal 504 orang

Pasukan polis dari IPD Kota Marudu memindahkan mangsa banjir ke PPS yang dibuka di Kota Marudu.
Pasukan polis dari IPD Kota Marudu memindahkan mangsa banjir ke PPS yang dibuka di Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Jumlah mangsa banjir di enam kampung yang terjejas di daerah ini masih kekal 504 orang biarpun paras air di kawasan berkenaan sudah surut sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, laporan paras air di Sungai Bandau dan Bongon berada di bawah paras waspada serta menurun.

Beliau yang juga Komander Operasi Menyelamat Lapangan berkata, keadaan cuaca di daerah ini masih hujan.

"Enam kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Beliajung, Kampung Tongkungon, Kampung Teritipan, Kampung Tingkalanon, Kampung Sasayapon dan Kampung Paya.

"Bagaimanapun, paras air banjir di semua kawasan kampung terjejas di atas telah surut sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga, manakala PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek membabitkan 253 mangsa daripada 97 keluarga.

Keadaan banjir di Kota Marudu.
Keadaan banjir di Kota Marudu.

"Setakat pagi tadi, proses pendaftaran di PPS SMK Tandek masih berjalan, namun di PPS SK Teritipan telah ditutup.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan diteruskan dan pasukan penyelamat sentiasa siap sedia untuk menjalankan operasi mengikut keadaan cuaca," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu, Rayner Saimon memaklumkan, PPS Dewan SK Teritipan ketika ini menempatkan mangsa banjir dari Kampung Beliajung dan Taritipan, manakala PPS Dewan SMK Tandek menempatkan mangsa banjir dari Kampung Tingkalanon, Kampung Asin-asin dan Kampung Tandek laut.