Kedah lantik peguam urus caj air mentah terhadap Pulau Pinang

Muhammad Sanusi menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB Kedah di Dataran Zero Kilometer Sungai Petani pada Sabtu.
Muhammad Sanusi menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB Kedah di Dataran Zero Kilometer Sungai Petani pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri Kedah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit.

"Kami sudah lantik panel peguam menerusi konsultan (juru runding) kerana sangat serius mengenai isu ini. Kedah akan tuntut caj air mentah ini dengan apa cara sekali pun," katanya ketika hadir ke Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB Kedah di Dataran Zero Kilometer Sungai Petani di sini, pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, tuntutan caj air mentah kepada Pulau Pinang bukan sahaja menjadi harapan beliau namun rakyat Kedah.

"Kami bukan orang purba hendak redah pergi begitu sahaja. Syarikat Air Darul Aman (SADA) pun membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

"Jadi, diharap Pulau Pinang pun bayar lah. Saya sudah serius tapi depa (Pulau Pinang) yang tak serius," katanya.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Artikel Berkaitan: