Misi RICH bawa Malaysia bersujud kepada ALLAH SWT

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) Edisi Khas membawa misi mengajak umat Islam di seluruh Malaysia untuk bersujud kepada ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, mereka mengambil momentum banjir besar yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini dengan membawa misi Malaysia bersujud berdasarkan surah Al-Sajdah ayat satu hingga 30.

“Kita dapat lihat bagaimana momentum banjir kali ini melahirkan banyak nilai murni yang terbit dalam diri dan telah membentuk minda kita dengan panduan al-Quran.

“Kewujudan nilai-nilai tersebut itulah menunjukkan bahawa pergantungan hidup kita adalah kepada ALLAH SWT dan insya-ALLAH, al-Quran akan membentuk kerangka fikir yang benar kepada rakyat serta dapat menyelamatkan bangsa Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam program RICH bertajuk 'Sujud Seorang Hamba' di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini pada Sabtu.

RICH Edisi Khas kali ini membawakan slot istimewa dengan perkongsian daripada selebriti terkenal tanah air yang juga mangsa banjir, Ebby Yus; aktivis banjir, Azwan Omar (Abang Viva); Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Marhaini berkata, WUIF ingin mengambil momentum untuk RICH mengadakan kelas seawal jam 4.30 pagi untuk menyebarkan misi tahajud sepanjang tahun 2022.

“Berdasarkan Surah Al-Sajdah, ayat 16 turut mengajak umat Islam untuk menunaikan solat tahajud yang akan menjadi kekuatan kita secara bersama, insya-ALLAH.

“Kupasan pagi ini kita bercerita tentang ayat-ayat qawniah yang bukan sahaja ada dalam al-Quran tetapi yang nak kita baca dengan nama Tuhan berdasarkan situasi yang sedang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Kita dapat ikuti perkongsian luar biasa kerana apa yang dilalui oleh mereka yang membantu mangsa banjir itu sendiri telah dikupas dengan ayat al-Quran,” jelasnya.

Sementara itu, Marhaini akui sambutan program kali ini agak luar biasa susulan edisi khas tersebut diadakan secara hibrid bersama mangsa banjir yang berada di PPAS termasuk staf yang bertugas di WUIF dan PPAS sendiri.

“Komen di media sosial seperti Telegram dan Whatsapp amat menggalakkan dengan lebih 1,000 tontonan di Facebook Live, insya-ALLAH ini menjadi momentum untuk kita mulakan tahun baharu dengan rasa kesyukuran kepada ALLAH SWT,” ujar beliau.