Tiada pengisytiharan darurat di Pasir Gudang

Mohamed Hanipa Maidin - Foto Sinar Harian Rosli Talib
Mohamed Hanipa Maidin - Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Kerajaan tidak berhasrat untuk mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai kawasan darurat susulan pencemaran toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) berkata, ini kerana Kerajaan Negeri Johor masih berkeupayaan mengawal dan menangani bencana berkenaan.

Malah katanya, meskipun tiada pengumuman pengisytiharan darurat namun kerja yang dilaksanakan di Pasir Gudang sekarang seolah-olah seperti berlakunya darurat.

"Untuk makluman berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor pada 13.3.2019 membuat keputusan bahawa kerajaan Negeri Johor masih berkeupayaan mengawal dan menangani isu ini.

"Isu ini masih belum tahap bencana sehingga perlu diisytiharkan darurat," katanya di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan keperluan sama ada Pasir Gudang perlu diisytiharkan darurat di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan sendiri telah mengambil perhatian serius dan turut turun padang membantu.

"Kerajaan Persekutuan akan beri bantuan kos operasi pembersihan kimia dan akan menanggung bersama dengan kerajaan negeri, selain bantuan wang ehsan yang akan diberi kepada setiap keluarga yang terkesan di mana senarai itu akan diputuskan oleh Jabatan Bencana Daerah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mindef hantar pasukan khas bantu bersihkan Sungai Kim Kim

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, malah Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk kerja pembersihan sungai terlibat dengan secepat mungkin.

Perbahasan usul yang bermula pada jam 4:30 dan tamat sekitar jam 5:30 petang itu dibacakan oleh Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta agar Dewan mengizinkan beliau membawa usul itu bagi menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).

Ia turut disertai oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja); Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam); Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor); Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (Pulai-PH); Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang mewakili pihak kerajaan dan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau).

Sementara Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) mewakili barisan pembangkang.