X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

70 sukarelawan UMK bantu mangsa banjir di Pahang

Antara sukarelawan yang bertugas membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas.
A
A

KOTA BHARU - Seramai 70 sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai Misi Bantuan Banjir UMK di Temerloh untuk membantu mangsa banjir yang terkesan di kawasan berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Razli Che Razak berkata, objektif utama misi kali ini adalah untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan, selain mengesan pelajar UMK yang terjejas di kawasan sekitar yang dilanda bencana banjir.

"Melalui misi bantuan ini, sekurang-kurangnya kita dapat bantu meringankan beban dan menenangkan keadaan pelajar yang terjejas dengan kehadiran sukarelawan UMK.

"Selain itu, sumbangan wang tunai dan kotak makanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-UMK Prihatin turut disumbangkan kepada enam pelajar terjejas banjir.

"Misi ini turut mendapat kerjasama anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Suksis), Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (Siskor), Pasukan Latihan Simpanan (Tentera Laut), Pasukan Briged Gayong Malaysia dan sukarelawan pelajar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau turut menyempurnakan majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir UMK-MAYC Daerah Angkat KPT ke Pahang, di Pusat Hentian Rehat (RNR), Gua Musang.

Turut hadir, Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas; Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UMK, Profesor Madya Ts Dr Muhamad Saufi Che Rusuli dan Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Mohd Ramdan Shafian.

Sementara itu, Muhamad Saufi turut memberitahu, misi bantuan berkenaan bermula di dua lokasi iaitu di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab dan Perumahan Makmur Karak Setia Idaman Lakeview, Bentong.

Beliau berkata, kumpulan pertama operasi pembersihan melibatkan kawasan perumahan di Bentong yang diketuai oleh Mohd Ramdan manakala pasukan kedua operasi pembersihan melibatkan kawasan sekitar perumahan Temerloh.

Misi berkenaan turut disertai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar bersama pasukan dari KPT.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!