Pengunjung restoran dikompaun RM311,000 langgar SOP

Lebih 300 pelanggan di sebuah restoran di kompaun apabila didapati melanggar SOP ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2022 di Ipoh.
Lebih 300 pelanggan di sebuah restoran di kompaun apabila didapati melanggar SOP ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2022 di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Seramai 311 pengunjung dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang apabila bersesak-sesak ketika menyambut ambang Tahun Baharu 2022 di sebuah restoran di Jalan Sultan Yussuf di sini pada Jumaat.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, premis yang sepatutnya memuatkan hanya 100 pelanggan bertukar menjadi kelab hiburan apabila beroperasi dalam keadaan gelap dengan muzik dipasang kuat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Ketika serbuan, keadaan premis didapati terlalu padat dengan pelanggan duduk secara rapat yang menyukarkan mereka melakukan penjarakkan fizikal.

"Setiap pelanggan yang hadir terdiri daripada 177 lelaki, 99 wanita dan 35 remaja berusia 16 tahun ke atas serta pemilik restoran dikenakan kompaun," katanya kepada pemberita di sini pada awal pagi Sabtu.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan menerusi Operasi Khas Cegah Jenayah Sambutan Ambang Tahun Baharu 2022.

Artikel Berkaitan:

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) turut terlibat dalam serbuan di sebuah restoran yang dikesan melanggar SOP di Ipoh.
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) turut terlibat dalam serbuan di sebuah restoran yang dikesan melanggar SOP di Ipoh.

Katanya, operasi yang dijalankan selama 12 jam bermula 6 petang itu bertujuan memantau pematuhan SOP di kawasan tumpuan ramai.

"Dalam tempoh itu juga kita mahu mengurangkan peluang perlakuan jenayah dengan melakukan rondaan selain meningkatkan 'omnipresent' polis agar masyarakat berasa selesa.

"Pelbagai pasukan digerakkan dalam mencegah jenayah termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang menjalankan sekatan jalan raya," katanya.

Kata Mior Faridalathrash, seramai 901 pegawai dan anggota polis ditugaskan dalam operasi itu di seluruh negeri.

"Sebanyak 48 pasukan serbuan dibentuk selain 74 sekatan jalan raya diadakan dan 106 orang terlibat dalam rondaan cegah jenayah," katanya.