'UMNO, Pas tak akan curi orang PH'

Saarani bersalaman bersama Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria selepas pertemuan bersejarah kedua-dua parti itu di Perak. - FOTO FB KHUSAIRI TALIB
A
A

IPOH - Pimpinan UMNO dan Pas Perak bersepakat untuk kekal menjadi pembangkang yang berwibawa dan tidak akan menarik mana-mana ADUN PH untuk menyokong mereka.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani berkata, dalam pertemuan rasmi pertama yang diadakan malam tadi, kesemua pemimpin kedua-dua parti sepakat untuk memperkukuhkan kerjasama dan mencari titik pertemuan antara UMNO dan Pas.

Katanya, walaupun ada dibincangkan tentang kepincangan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PH ketika ini, UMNO dan Pas akan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Kami tak akan curi orang PH sepertimana yang mereka buat. Kita tidak akan buat kerja-kerja tak bermoral seperti itu kecuali sesama mereka berantakan.

"Kita pun tak akan pujuk mana-mana pemimpin PH mahupun bekas ADUN BN untuk kembali ke pangkuan BN. Kalau mereka dengan rela hati nak datang kepada kami, terpulang.

"Yang sibuk memujuk ini Tun Dr Mahathir Mohamad. Ramai Ahli Parlimen BN yang dipujuk untuk lompat parti sokong PH," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan rasmi pertama UMNO dan Pas di Pejabat Perhubungan Pas Perak, malam tadi.

Sementara itu, mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Saarani menjelaskan ia merupakan satu sejarah besar dalam politik di Perak.

Katanya, selepas ini akan diadakan pertemuan di peringkat bahagian dan kawasan untuk mencari titik persamaan serta merangka program di peringkat bawah.

Saarani berkata, seramai 11 pimpinan UMNO Negeri dan Pusat hadir pada pertemuan tersebut.