Wajibkan syarikat korporat miliki sijil antirasuah

Foto 123rf (Gambar kecil: Nelson Beh)
Foto 123rf (Gambar kecil: Nelson Beh)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewajibkan semua syarikat korporat memiliki persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS ISO 37001:2016) bagi mengurangkan risiko amalan rasuah berlaku di peringkat dalaman mahupun luaran.

Pengerusi Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), Nelson Beh berkata, ABMS ISO yang turut dikenali sebagai sistem pengurusan antirasuah ditubuhkan bagi tujuan mewujudkan rangka kerja korporat untuk mencegah, mengesan serta menyiasat kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Antara syarikat yang disarankan mendapatkan sijil ini adalah syarikat yang terbabit dalam sektor perniagaan, penguatkuasaan dan juga pembinaan.

“Walaupun ABMS ISO ini tidak menjamin unsur rasuah akan bebas sepenuhnya, tetapi dengan adanya sijil ini, adalah menjadi semakin sukar untuk amalan rasuah dilakukan,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Nelson berkata, kerajaan juga harus memberikan tumpuan yang lebih kepada ketiga-tiga sektor berkenaan dan ia tidak boleh lagi dirahsiakan.

“Jika rasuah telah menjadi budaya, ia akan dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa takut.

“Namun, tak semua sektor terlibat rasuah, ada juga dalam kalangan mereka tidak pernah berdepan dengan rasuah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Nelson turut memaklumkan, pihaknya sebelum ini pernah bekerjasama dengan Task Force Publisiti Belia Cina dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menganjurkan pertandingan pidato bertemakan antirasuah dan integriti.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia berikutan kesedaran tentang antirasuah dalam komuniti Cina masih lemah jika dibandingkan dengan komuniti kaum lain.

“Pertandingan ini mempunyai tiga kategori iaitu Sekolah Menengah, kaum Cina dan kaum bukan Cina.

“Justeru, pendidikan integriti adalah sangat penting dan perlu bermula dari kecil sehingga ke semua lapisan masyarakat. Daripada individu ke kelompok yang lebih besar.

“Ketidakinginan kita untuk melakukan perubahan hanya akan menyebabkan generasi muda kita menderita, kesan daripada budaya rasuah,” tegas beliau lagi.