Jiwa Adib masih bersama TFC

Muhammad Adib - Foto Bernama
Muhammad Adib - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN pertahanan baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Adib Zainuddin mendedahkan beliau telah menolak tawaran daripada tiga pasukan lain untuk menyertai skuad Penyu.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim ll (JDT ll) turut mengakui reputasi skuad itu yang berada dalam kelompok terbaik musim ini menjadi faktor utama penghijrahannya, selain mahu menimba pengalaman di bawah bimbingan jurulatih muda yang sedang meningkat naik, Nafuzi Zain.

"TFC adalah antara pasukan yang disegani dalam arena bola sepak tempatan. Reputasinya di bawah bimbingan ketua jurulatih Nafuzi Zain memang diakui begitu cemerlang.

"Kebetulan saya juga mahukan tugasan yang lebih mencabar musim depan. Oleh itu tawaran daripada TFC memang tepat dan kena pada masanya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Seperti pemain lain, Muhammad Adib yang pernah menggalas gelaran kapten dan tonggak pertahanan tengah skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), turut memasang impian untuk membantu pasukan mendapatkan piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Katanya, bagi seseorang pemain, kejayaan pasukan dalam mencapai Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh kelab amat penting, kerana ia turut mencerminkan nilai serta reputasi dalam pasukan tersebut secara tidak langsung.

Muhammad Adib yang berasal dari Mersing, Johor pernah menyarung jersi skuad UiTM FC, FELCRA FC dan Harimau Muda C sebelum menyertai TFC dan JDT ll.

Beliau telah membuat 29 penampilan ketika beraksi bersama JDT ll dan merupakan pemain tempatan pertama yang ditandatangani TFC mengharungi cabaran Liga M musim depan menggantikan Muhammad Mohd Fauzi. - Bernama

Artikel Berkaitan: