Bot nelayan Filipina karam dikesan, kru diselamatkan

Insiden bot karam di perairan negara jiran berhampiran sempadan Malaysia. - Foto ihsan ATB 2
Insiden bot karam di perairan negara jiran berhampiran sempadan Malaysia. - Foto ihsan ATB 2
A
A
A

SANDAKAN - Tindakan pantas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa Filipina mengenai insiden bot karam di perairan negara jiran itu berhampiran sempadan Malaysia, berjaya menyelamatkan semua mangsa pada pagi Jumaat.

Menurut kenyataan ATB 2 pada Jumaat malam, pasukan tersebut menerusi Radar Stesen Pengawasan Pesisir Pantai (CSS) di Pulau Bakungan Kecil telah mengesan sebuah bot nelayan karam di luar sempadan perairan negara pada jam 9.50 pagi.

"Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di Markas ATB 2 bertindak menyalurkan maklumat kejadian kepada Pusat Pemerintahan Maritim (MCC) Malaysia, yang kemudian menyalurkan maklumat berkenaan kepada MCC Filipina bagi menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia.

"Pada jam 10.50 pagi, operasi menyelamat telah dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hasil maklumat daripada MCC Filipina, bot yang didaftarkan sebagai ML RIHANA itu dengan 10 kru bersama seorang tekong, kesemua warga Filipina, telah karam dipercayai akibat kebocoran pada bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat, di kedudukan 2.3 batu nautika dari timur laut CSS Pulau Bakungan Kecil.

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Paus telah diatur gerak ke sekitar lokasi bot nelayan Filipina yang karam itu, bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota bertugas di POWB ATB 2 dan radar CSS Pulau Bakungan Kecil atas kejayaan pengesanan bot karam tersebut.

Katanya, ini membuktikan sistem radar milik Markas ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan keselamatan sempadan perairan pantai timur Sabah berada di tahap tertinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: