Bumitra rayu KKM tidak tangguh ibadah umrah

Kerajaan perlu memperketatkan SOP bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah. - Foto Bernama
Kerajaan perlu memperketatkan SOP bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) merayu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membuat keputusan penangguhan pelaksanaan ibadah umrah secara serta-merta tanpa merujuk kepada persatuan itu terlebih dahulu.

Naib Presiden Haji dan Umrah Bumitra, Shamsulnidza Mudari berkata, ia kerana Bumitra adalah wakil industri pengendali pelancongan dan umrah yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurutnya, tindakan yang perlu diambil bagi membendung penularan Covid-19 terutamanya varian Omicron yang ketika ini dikatakan menular dalam kalangan jemaah umrah adalah dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, sebarang tindakan yang bakal merugikan penggiat industri pelancongan termasuk agensi pelancongan dan syarikat penerbangan malah kepada jemaah umrah itu sendiri tidak sepatutnya dibuat.

"Bumitra yang mewakili 579 agensi pelancongan bumiputera yang berdaftar dengan kita menyarankan agar Menteri Kesihatan dapat berbincang semula dengan pihak persatuan terutamanya Bumitra supaya keputusan yang tepat dapat diambil bagi memudahkan para jemaah untuk melaksanakan umrah.

"Kita berharap KKM boleh berbincang untuk memperketatkan semula SOP dan turut mengguna pakai SOP itu kepada semua pengembara bukan hanya kepada jemaah umrah," katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Media pada Selasa melaporkan kerajaan mungkin menangguhkan ibadah umrah jika situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi meningkat dan jangkitan dalam kalangan jemaah tempatan pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan semasa belum sampai ke tahap itu dan kerajaan tidak mahu melakukan keputusan terburu-buru.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shamsulnidza menegaskan, pihak agensi pelancongan menyokong pihak KKM jika terdapat keperluan pengambilan dos penggalak untuk jemaah umrah bagi melindungi diri daripada dijangkiti.

"Pihak KKM harus memperkemaskan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) supaya jemaah tidak perlu menunggu masa yang lama di balai ketibaan lapangan terbang kerana semua data telah telah dikemas kini oleh semua jemaah sewaktu di tanah suci lagi," ujarnya.

Beliau berkata, Bumitra sebelum ini telah sama-sama berbincang dengan MOTAC mengenai SOP pembukaan semula umrah, di mana semua SOP yang sudah ditetapkan oleh MOTAC dan KKM telah dipatuhi agensi pelancongan.

"SOP yang dipatuhi ini termasuklah perlaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi tempoh 72 jam sebelum berlepas dan 48 jam selepas pulang, jemaah dikuarantinkan di Makkah sekiranya positif, perlaksanaan ujian saringan Covid-19 sekali lagi sewaktu tiba di KLIA serta memohon jemaah umrah untuk melakukan pengasingan kendiri di rumah melalui aplikasi KKM. Segala langkah pencegahan telah dipatuhi oleh pihak agensi pelancongan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan pertanyaan mengapa industri umrah menjadi sasaran sedangkan jumlah kes Omicron di United Kingdom jauh lebih banyak.

Malahan, katanya, berdasarkan kenyataan dari Centre for Disease Control and Pervention (CDC), Amerika Syarikat, kesan Omicron dilaporkan lebih lemah berbanding Delta.

"Jangkitan Omicron di Arab Saudi mencatatkan jumlah kes yang jauh lebih rendah berbanding negara lain. Ibadah umrah merupakan ibadah suci, hak memilih harus di tangan jemaah. Ia mustahak untuk pihak kerajaan perketatkan SOP, lakukan ujian saringan Covid-19 48 jam setiap hari di Malaysia dan meninjau pergerakan di Malaysia," jelasnya.