Sila log masuk terlebih dahulu.

Masyarakat berbilang agama doakan kesejahteraan negara

Ismail Sabri (dua, kiri) mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali pada Program Solat Hajat dan Munajat Perdana Bagi Mendoakan Kesejahteraan Malaysia sempena Tahun Baharu 2022 di Masjid Putra malam ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua, kiri) mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali pada Program Solat Hajat dan Munajat Perdana Bagi Mendoakan Kesejahteraan Malaysia sempena Tahun Baharu 2022 di Masjid Putra malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat Malaysia berbilang agama malam ini menyambut Tahun Baharu 2022 dengan mendoakan kesejahteraan negara serta menghormati mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Rata-rata masyarakat akur dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis agar sambutan Tahun Baharu kali ini dibatalkan sebaliknya diganti dengan solat hajat dan doa selamat sebagai menghormati, bersimpati dengan mangsa banjir.

Masyarakat Islam melakukan solat hajat selepas solat maghrib di masjid terpilih di seluruh negara sementara masyarakat bukan Islam turut melakukan upacara berdoa di rumah ibadat masing-masing.

Di Putrajaya, Perdana Menteri menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena Tahun Baharu 2022.

Jemaah menunaikan solat sunat hajat sempena sambutan ambang Tahun Baru 2022 yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Tepian Putra, Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin pada Jumaat.
Jemaah menunaikan solat sunat hajat sempena sambutan ambang Tahun Baru 2022 yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Tepian Putra, Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin pada Jumaat.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 7.15 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad untuk menunaikan solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali diikuti solat hajat.

Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Artikel Berkaitan:

Gereja St. Mary’s Cathedral di ibu negara melakukan upacara sembahyang Tahun Baharu kali ini secara dalam talian mengambil kira penularan Covid-19 selain memudahkan penyertaan penganut agama Kristian di seluruh negara.

Pegawai Tadbir gereja tersebut, Wong Yoke Ling berkata, upacara tersebut akan dibuat dibuat di platform Zoom, malam Jumaat bermula 11.30 malam.

“Peserta boleh menyertai upacara tersebut melalui pautan stmarys.my/nye yang akan diketuai oleh Dekan (Dean of St Mary’s Cathedral) Rev Dr Andrew Cheah,” katanya ketika dihubungi.

Gurdwara Sahib di ibu negara turut mengadakan upacara sembahyang menyambut Tahun Baharu bermula jam 6 petang hingga 12 malam ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan dipantau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Setiausahanya, Harpal Singh berkata, pihaknya tidak dapat menjalankan upacara tersebut secara dalam talian berikutan kekangan tertentu di pusat ibadah itu.

“Upacara sembahyang ini adalah doa kesyukuran berakhirnya 2021 dan menyambut tahun baharu esok sekali gus mendoakan kesejahteraan semua rakyat negara diberi kesihatan yang baik. Doa ini untuk semua tanpa mengira agama penduduk Malaysia,” katanya.

Di Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menghadiri Program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan Allah Menjelang 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam Jumaat.

Amirudin mengaminkan doa selepas selesai bacaan Yassin ketika Program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan ALLAH SWT Menjelang Tahun 2022 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Amirudin mengaminkan doa selepas selesai bacaan Yassin ketika Program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan ALLAH SWT Menjelang Tahun 2022 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat sunat Ba'diah dan solat Taubah secara sendiri dan disusuli dengan solat Sunat Awabin Maal Hifz Man serta solat hajat secara berjemaah.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan zikir munajat dan bacaan doa khas oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Ophir dan solat isyak berjemaah.

Di Pahang, pengisian malam Tahun Baharu diadakan dengan program kerohanian anjuran Masjid Tepian Putra, Kuantan dengan kehadiran lebih 100 warga setempat.

Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti solat sunat hajat sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin serta doa selamat untuk menghindari bencana yang dipimpin imam masjid berkenaan Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin sebelum diakhiri bacaan surah Al-Mulk selepas solat Isyak. - Bernama