Banjir besar: Tun M tegur pemimpin kerajaan

Hantaran Dr Mahathir di Facebook beliau pada Jumaat.
Hantaran Dr Mahathir di Facebook beliau pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur pemimpin kerajaan yang dilihat seolah-olah tiada idea untuk menolong bahkan tidak bersikap prihatin terhadap bencana banjir besar yang menimpa rakyat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, dalam perkara tersebut, sebenarnya kerajaan tidak perlu pengalaman tetapi apabila malapetaka berlaku kerajaan sepatutnya cuba menolong dan meredakan keadaan.

Menurutnya, oleh itu apa yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kerajaan menangani bencana banjir besar.

"Sepatutnya kerajaanlah yang memainkan peranan yang utama. Malangnya ternampak kerajaan tidak ada idea untuk menolong rakyat, bahkan tidak bersikap prihatin terhadap malapetaka yang menimpa rakyat.

"Demikianlah sikap tidak bertanggungjawab anggota kerajaan sehingga sebilangan daripada mereka bercuti di luar negara dan yang berada di negeri tidak turun segera untuk bantu rakyat. Yang turun pula lebih utamakan bergambar untuk dilapor dalam media," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Banjir besar yang melanda negara termasuk Lembah Klang pada 17 Disember lalu mengakibatkan puluhan nyawa terkorban selain mangsa terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan, dalam musibah banjir besar itu, sebenarnya rakyat biasalah yang bertungkus lumus keluar untuk menghulur bantuan, bukan sahaja untuk membersih tetapi juga membekal makanan percuma.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pemilihan menteri perlu mengikut kriteria sepatutnya agar mereka benar-benar dapat menyelami hati dan nurani rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ya. Kita tidak perlu apa-apa kelulusan untuk jadi menteri. Siapa sahaja boleh jadi menteri. Tetapi memilih calon yang nampak pendapatan yang tinggi sahaja tidak akan (dapat) hasil khidmat yang terbaik," ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan pentadbiran negara masih belum dapat dipulihkan dengan baik, ramai rakyat mengadu tertekan dengan masalah rasuah yang masih berlaku di negara ini

"Kita juga dengar (pihak) yang dipertanggungjawab membanteras rasuah disyaki terlibat dengan rasuah. Inilah hasil daripada amalan rasuah oleh pemimpin tertinggi.

"Mereka yang dipilih jadi menteri atau pengarah urusan dipilih kerana menyokong pihak tertentu. Sokongan ini pula diberi kerana ingin dapat gaji yang tinggi. Mereka yang ingin khidmat untuk bangsa dan negara digugur untuk memberi tempat kepada penyokong," jelasnya.

Justeru, Dr Mahathir menegaskan, jika pemimpin yang merosakkan negara masih diberi peluang berada dalam kerajaan, maka masa depan Malaysia akan terus merosot sehingga berisiko menjadi sebuah negara yang gagal.

"Kita akan sambut Tahun Baharu. Kita harap tahun 2022 lebih baik dari 2020 dan 2021. Tetapi besar kemungkinan 2022 akan menjadi sama dengan dua tahun yang lepas.

"Semasa kita sambut Tahun Baharu 2022, fikirlah akan peranan kita untuk memperoleh cita-cita besar kita seperti yang ditentukan dalam Wawasan 2020. Kita masih mempunyai kebolehan dalam negara bertuah ini. Hanya dengan menolak rasuah dan memilih pemimpin yang bersih sahaja, akan terpulihlah negara ini.

"Selamat menyambut Tahun Baharu 2022 dan didoakan ALLAH SWT akan kembalikan kita semua ke jalan yang benar dan bersih," jelasnya.