2022 tahun Malaysia kembali ke landasan

Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi tahun 2022 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif. - Foto hiasan
Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi tahun 2022 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahun 2022 merupakan tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, katanya, beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun depan antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital yang sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

“Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status “carbon-neutral nation” (negara neutral karbon) pada tahun 2050.

“Transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2022 yang disiarkan stesen-stesen televisyen, malam Jumaat.

Ismail Sabri berkata, misalnya dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti dan pasaran pekerjaan yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG.

Menurutnya, aspirasi ESG juga memerlukan keberanian kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif.

“Sebab itulah antara insentif yang membuktikan kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan bagi kenderaan elektrik.

“Kerajaan juga sedar dalam mencapai matlamat ini, ekosistem sokongan seperti infrastruktur bagi kenderaan elektrik (EV) perlu dibangunkan dan dipertingkatkan seperti di negara maju,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi tahun 2022 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan terus memberikan tumpuan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Sehubungan itu, beliau yakin momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

Ismail Sabri berkata, di sebalik segala kesulitan yang dihadapi tahun 2021 menyaksikan permulaan usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara dengan pencapaian positif beberapa indikator utama ekonomi makro dan rakyat.

Antaranya jumlah perdagangan negara yang mencecah RM2 trillion buat pertama kalinya selepas berkembang 24.6 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

Selain itu Malaysia mencatatkan perkembangan positif meraih sebanyak RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran juga sudah mula beransur pulih kepada 4.3 peratus pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

"Angka terbaru ini juga lebih rendah daripada dua bulan sebelumnya,” tambahnya. - Bernama