Syamsul Hazeman YDP MPM baharu

Choo Kiong (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada Syamsul Hazeman.
Choo Kiong (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada Syamsul Hazeman.
A
A
A

SERI MANJUNG - Bekas Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perlis tahun 2005 hingga 2006, Syamsul Hazeman Md Salleh dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bermula 1 Mac lalu.

Exco Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Yong Choo Kiong berkata, pelantikan Syamsul Hazeman merupakan pilihan tepat memandangkan dia mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam perkhidmatan awam.

"Pemilihan beliau adalah satu keputusan tepat kerana beliau merupakan pegawai muda yang proaktif dengan pengalaman selama 14 tahun sejak 2005 dalam perkhidmatan awam.

"Beliau sebelum ini telah berkhidmat di dalam enam agensi sebelum ini antaranya sebagai Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perlis 2005 hingga 2006, Setiausaha Keselamatan Daerah Kerian 2007, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian dan Manjung dari 2008 hingga 2017," katanya kepada pemberita.

Choo Kiong berkata demikian dalam ucapannya selepas hadir pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman di Dewan Kaunselor MPM, di sini, hari ini.

Menurut Choo Kiong, kerajaan negeri yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh Syamsul Hazeman, beliau akan dapat menjalankan amanah sebagai Yang Dipertua juga Ahli Majlis MPM dengan baik.

"Dalam masa sama juga semua Ahli Majlis MPM dapat meneruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan baharu ini dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna," katanya.

Bagi Syamsul Hazeman, sebagai pucuk pimpinan baharu adalah menjadi keutamaannya untuk bersama-sama Ahli Majlis, Pengarah dan Ketua Unit serta Jabatan MPM untuk memastikan aspek perancangan pembangunan dan perkhidmatan MPM sentiasa berada di tahap cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mencapai matlamat tersebut MPM telah menyediakan rangka dasar, hala tuju dan bidang fokus menerusi Pelan Strategik 2019-2023 yang menggariskan lima objektif.

"Justeru bagi memastikan perancangan ini dapat dicapai MPM akan melaksanakan pemantauan berterusan dan membuat pengukuran dan kajian semula terhadap pelan strategik ini dari masa ke semasa seiring dengan perubahan persekitaran dan keperluan pihak berkepentingan," katanya.

Syamsul Hazeman sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Institusi Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) bermula Oktober 2018 hingga Februari 2019.

Sementara itu, pada majlis sama Choo Kiong turut menegaskan Kerajaan Perak akan melaksanakan pemantauan ke atas prestasi 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dari masa ke semasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan dasar kerajaan negeri dan trend pembangunan semasa.

“Bagi memastikan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan ini disampaikan dengan berkesan kepada rakyat, penilaian juga akan dilakukan terhadap prestasi kerja ahli-ahli majlis khususnya berkaitan kehadiran di mesyuarat dan penglibatan dalam program.

"Ia bertujuan dalam memastikan mereka sentiasa memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas dan mempunyai prestasi kerja yang berkualiti.