Banjir: Mangsa meningkat di Terengganu, menurun di tiga negeri

MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter. - Foto Bernama
MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir terus meningkat di Terengganu petang Jumaat sementara di tiga negeri lain iaitu Pahang, Selangor dan Kelantan mencatatkan penurunan mangsa banjir manakala jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan kekal.

Di TERENGGANU mangsa banjir meningkat kepada 433 orang daripada 123 keluarga petang Jumaat berbanding 390 orang daripada 115 keluarga tengah hari Jumaat.

Kemaman menjadi daerah kedua yang dilanda banjir selepas Dungun dengan pembukaan satu pusat penempatan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS seluruh negeri ialah tiga ketika ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, PPS baharu tersebut iaitu Surau Kampung Ban Ho menempatkan 43 mangsa daripada lapan keluarga.

“Jumlah mangsa di Daerah Dungun kekal sama seperti tengah hari tadi (Jumaat) iaitu Dewan Serbaguna Kampung Shukur (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (165 orang, 55 keluarga,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan stesen bacaan di dua sungai masih merekodkan ketinggian air melebihi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan sedikit penurunan pada petang Jumaat apabila Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 2,290 mangsa ditempatkan di 32 PPS berbanding 2,366 mangsa tengah hari tadi melibatkan Daerah Pekan, Temerloh, Kuantan, Bentong dan Maran.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan aras air di beberapa stesen telah melebihi tahap amaran antaranya di Jerantut melibatkan Kuala Tahan, Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, aras air di Sungai Kuantan di Pasir Kemudi (Kuantan), Jambatan Chegar Perah (Lipis), Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) turut melepasi tahap amaran.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu terus menurun kepada 97 mangsa melibatkan 27 keluarga yang ditempatkan di dua PPS setakat petang ini berbanding 408 mangsa daripada 125 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada tengah hari Jumaat.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat.

Jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan di KELANTAN setakat 5 petang Jumaat, apabila seramai 1,070 orang daripada 346 keluarga masih berada di PPS berbanding 1,172 orang daripada 367 keluarga, tengah Jumaat.

Aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan 16 PPS dibuka melibatkan tiga jajahan iaitu sembilan di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.32 meter.

Portal Rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi pautan http://bencanaalam.jkr.gov.my/ melaporkan satu Jalan Persekutuan di Kelantan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Jalan Kuala Balah, Jeli masih ditutup kepada semua kenderaan sejak Khamis.

Sementara di NEGERI SEMBILAN aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang daripada sembilan keluarga yang berada di satu-satunya PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Puom. - Bernama