Haiqal tagih empat kejohanan antarabangsa sebelum ke Sukan SEA

Muhammad Haiqal percaya jumlah kejohanan yang mahu disertainya itu mampu membantunya untuk mendapatkan rentak larian. - Foto Bernama
Muhammad Haiqal percaya jumlah kejohanan yang mahu disertainya itu mampu membantunya untuk mendapatkan rentak larian. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi berharap dapat beraksi dalam sekurang-kurangnya empat kejohanan antarabangsa sebelum menggalas cabaran negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei depan.

Muhammad Haiqal percaya jumlah kejohanan yang mahu disertainya itu mampu membantunya untuk mendapatkan rentak larian, sebelum turun mempertahankan pingat emas 100 meter (m) lelaki yang dimenanginya pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

“Saya rasa tiga atau empat kejohanan sudah memadai sebelum ke Vietnam. Kesemuanya bergantung kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), jika mereka ada kejohanan sesuai saya tiada masalah dan sedia untuk beraksi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Mengenai kejohanan tempatan pula, atlet berusia 22 tahun itu memaklumkan bakal membuat penampilan pada Terbuka Kuala Lumpur bulan depan disusuli sebuah kejohanan di Perak, Februari depan.

Beliau juga menyerahkan kepada jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim untuk membuat keputusan mengenai jumlah kejohanan tempatan yang dirasakan perlu bagi mempersiapkan diri menghadapi temasya di Hanoi.

Ditanya mengenai catatan masa yang mahu dilakarkan, Muhammad Haiqal mengakui tidak meletakkan sasaran spesifik, sebaliknya hanya mahu menampilkan larian bertenaga dalam usahanya memenangi acara reben biru itu buat kali kedua berturut-turut.

Dalam pada itu, pelari kelahiran Negeri Sembilan itu tekad untuk kembali bangkit dengan lebih kuat pada tahun 2022 selepas dilanda beberapa episod duka tahun ini, termasuk terlepas peluang beraksi dalam dua pertandingan iaitu Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia susulan kecederaan buku lali April lepas dan Kejohanan Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, pada Jun, gara-gara positif COVID-19.

Mengenai prestasinya pada 2021, Muhammad Haiqal tetap berpuas hati walaupun menamatkan saingan di tangga kelima dalam aksi tunggalnya tahun ini iaitu di Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perasaan gemuruh mempengaruhi prestasinya ketika itu memandangkan perlumbaan tersebut, yang turut berlangsung dalam hujan, adalah acara pertama beliau selepas penghujung tahun 2020.

Sementara itu, beliau yang ketika ini berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak, semakin selesa dengan latihan di situ bersama juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan yang dikendalikan Mohd Poad sejak Jun lepas. - Bernama