220 lori RORO digerakkan ke Taman Sri Muda

Ramli meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda pada Jumaat.
Ramli meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 220 lori Roll-On-Roll-Off (RORO) digerakkan ke Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bagi operasi pembersihan pasca banjir pada Jumaat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, aset tambahan seperti jengkaut juga digunakan bagi melancarkan dan mempercepatkan kerja-kerja kutipan sampah.

Menurut beliau, pembersihan di kawasan Taman Sri Muda bermula sejak 25 Disember lalu selepas keadaan banjir mula surut dan jalan dibuka untuk jentera pembersihan dan kutipan.

"Pada Khamis, sejumlah 3,764 tan sampah pasca banjir telah dikutip dengan jumlah keseluruhan 26,000 tan sampah sepanjang 10 hari operasi pembersihan pasca banjir dijalankan di negeri Selangor.

"Kerja-kerja pembersihan pasca banjir ini akan terus ditingkatkan dalam usaha menangani lambakan sampah disebabkan oleh bencana banjir ini," katanya sewaktu meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda pada Jumaat.

Operasi pembersihan di Taman Sri Muda masuk hari ketujuh sejak 25 Disember lalu.
Operasi pembersihan di Taman Sri Muda masuk hari ketujuh sejak 25 Disember lalu.

Katanya, KDEBWM bersama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan akan terus memberikan segala usaha dan komitmen dalam menyelesaikan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Selangor.

Beliau berkata, Taman Sri Muda meliputi kawasan luas melibatkan hampir 9,700 buah rumah serta 179 kilang, maka operasi pembersihan dibahagikan kepada empat zon iaitu A, B, C dan D.

Artikel Berkaitan:

"Setiap zon disediakan stesen pemindahan sementara (TS) sampah pukal. Sampah yang dikutip dari rumah ke rumah akan dihantar ke TS Seksyen 21 atau terus ke tapak pelupusan Jeram.

"Seramai 400 pekerja terlibat pada hari ini dan dijangka operasi pembersihan di Taman Sri Muda dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu," katanya.