Banjir: Ops Bahis tumpu proses disinfeksi jaga kesihatan penduduk

Annuar (kiri) agak terkejut melihat longgokan sampah selepas banjir ketika hadir pada Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. -Foto Bernama
Annuar (kiri) agak terkejut melihat longgokan sampah selepas banjir ketika hadir pada Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selain bantuan kerja-kerja pembersihan, Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops Bahis) akan memberi tumpuan kepada proses disinfeksi di rumah serta persekitaran kawasan yang terjejas akibat banjir pada 18 Disember lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses disinfeksi yang akan dijalankan mulai Sabtu dan Ahad, bertujuan menjaga kesihatan awam bagi mengelakkan jangkitan penyakit lain dalam kalangan penduduk yang terkesan dengan bencana itu.

“Selain menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19, soal kesihatan awam juga perlu dijaga. Salah satu program di bawah Ops BAHIS yang saya lancarkan ini adalah ‘disinfeksi’.

“Sebelum ini, kita basuh (rumah mangsa banjir) berkali-kali kemudian kita perlu buat ‘disinfecting exercise’ supaya lebih bersih kerana saya lebih khuatir dengan jangkitan penyakit lain selepas musim banjir ini sekiranya kita tidak berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan mengadakan tahlil ringkas di sebuah rumah mangsa banjir di Flat Andorra dekat Taman Sri Muda, di sini, pada Jumaat.

Annuar menjelaskan, Ops BAHIS juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pengutipan sampah di sekitar kawasan terjejas dengan menggerakkan kenderaan berat melalui bantuan pelbagai pihak seperti Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

“Di bawah program Bahis ini sepatutnya kita ‘adopt’ rumah sahaja tetapi atas permintaan penduduk kita menggerakkan juga mesin dan jentera untuk memungut puluhan tan sampah ini,” katanya.

Menyentuh mengenai sumbangan wang tunai serta barangan kepada mangsa banjir, beliau menjelaskan, pemberian itu akan diberikan esok kepada mangsa yang dibantu dalam Ops Bahis sepanjang operasi itu dilaksanakan bermula dari 29 Disember lepas hingga Ahad ini.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, 1,500 sukarelawan telah mendaftarkan nama melalui Ops Bahis setakat semalam, yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Rumah Prihatin serta penuntut universiti.

Ops Bahis cetusan idea Annuar, berkonsepkan Keluarga Angkat dengan menempatkan sekurang-kurangnya lima sukarelawan bagi berganding bahu bersama mangsa membersihkan rumah dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.

Ia merangkumi kawasan di Taman Sri Muda, Shah Alam; Bukit Changgang, dekat Sepang; dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, dengan menyasarkan 300 rumah sepanjang lima hari operasi berkenaan di ketiga-tiga lokasi itu.

Ops Bahis bukan sahaja melibatkan kerja pembersihan malah turut membantu memberi sokongan moral dan penawar tekanan atau trauma dialami keluarga yang terkesan ekoran bencana itu. - Bernama