MCA gesa siasat Azam Baki

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menggesa kerajaan supaya menjalankan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atas dakwaan mempunyai kepentingan besar dalam sebuah syarikat senarai awam.

Jurucakap MCA, Chan Quin Er berkata, siasatan itu perlu bagi mengekalkan imej SPRM sebagai badan yang boleh dipercayai dan profesional.

Menurutnya, Azam didakwa memiliki dua juta saham dalam sebuah syarikat senarai awam ketika berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jika dakwaan ini benar, akan ada unsur konflik kepentingan dan pelanggaran peraturan yang digunakan untuk mengawal penjawat awam," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa memfailkan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membincangkan dakwaan pemilikan hampir dua juta saham didakwa dimiliki oleh Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam setakat 21 Mac 2016.

Tambah Quin Er, Azam mahupun SPRM masih belum memberi sebarang respons atau mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Ini hanya akan menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti mereka. SPRM sepatutnya menjadi badan profesional yang diamanahkan untuk memerangi rasuah.

“Jika ia mengabaikan perkara integriti pegawai mereka sendiri, ini adalah satu bentuk kecuaian," kata beliau yang merupakan bekas timbalan pendakwa raya.

Artikel Berkaitan: