Banjir: Mangsa di Terengganu terus catat peningkatan tengah hari ini

Antara rumah yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Pasir Raja di sini pada Khamis. -Foto Bernama
Antara rumah yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Pasir Raja di sini pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus mencatat peningkatan di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala Kelantan, Pahang dan Selangor menunjukkan penurunan bilangan mangsa setakat tengah hari ini.

Di TERENGGANU, Jumlah mangsa banjir meningkat daripada 388 kepada 390 orang daripada 115 keluarga di dua PPS di daerah Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Dewan Serbaguna Kampung Shukur kekal menempatkan 225 mangsa daripada 60 keluarga manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 165 mangsa daripada 55 keluarga.

"Namun, pasukan penyelamat tetap memantau keadaan semasa kerana kemungkinan terdapat pemindahan penduduk di Kampung Minda dan Kampung Kuala Jengai dalam masa terdekat kerana hujan lebat masih berlaku ketika ini," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan tiga stesen iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekodkan ketinggian air melebihi paras amaran.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari Jumaat dengan 1,172 orang daripada 367 keluarga berbanding 1,399 orang daripada 412 keluarga, pagi Jumaat.

Bagaimanapun, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan terdapat pertambahan empat PPS menjadikan keseluruhan 18 PPS dibuka setakat tengah hari Jumaat berbanding 14 PPS pagi Jumaat melibatkan tiga jajahan iaitu 10 di Kuala Krai, tujuh di Jeli dan satu di Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang merekodkan bacaan 19.92 meter.

Artikel Berkaitan:

Portal Rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi pautan http://bencanaalam.jkr.gov.my/ pula memaklumkan satu Jalan Persekutuan di Kelantan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Jalan Kuala Balah, Jeli ditutup kepada semua kenderaan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan apabila Info Bencana JKM melaporkan 2,366 mangsa masih berada di 32 PPS berbanding 2,704 orang di 33 PPS pagi Jumaat.

PPS yang paling ramai dihuni mangsa banjir ialah Pekan diikuti Temerloh, Kuantan, Bentong dan Maran.

Laman web rasmi JPS melaporkan dua sungai berada pada paras amaran dengan trend menaik iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Sementara itu, empat sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Kundang (Maran); Sungai Dong (Raub) dan Sungai Triang di Chemomoi (Bentong).

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu menurun kepada 408 mangsa daripada 125 keluarga yang ditempatkan di empat PPS setakat tengah hari ini berbanding 466 individu daripada 132 keluarga di PPS yang sama pagi Jumaat.

Empat PPS tersebut ialah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (110 orang).

Polis Selangor memaklumkan tiga jalan masih ditutup setakat 10 pagi tadi untuk laluan kenderaan iaitu di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang kerana dinaiki air banjir selain jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

Dalam pada itu, mangsa banjir di NEGERI SEMBILAN kekal 29 individu daripada sembilan keluarga yang berada di PPS Balai Raya Kampung Puom, Jelebu. - Bernama