Sila log masuk terlebih dahulu.

Air Selangor beri pengecualian bil bagi pengguna terjejas banjir

Air Selangor akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini. - Gambar hiasan
Air Selangor akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, pengguna terjejas banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik dan tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak menerima pengecualian tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 atau merujuk aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter syarikat itu, selain boleh mengajukan pertanyaan dan aduan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: