'Bukan Jabor tetapi Jalan Pintasan Sungai ular'

Tangkap layar video pengguna media sosial TikTok mengenai laluan dinaiki air pada petang Khamis.
Tangkap layar video pengguna media sosial TikTok mengenai laluan dinaiki air pada petang Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Penularan sebuah video dalam platform media sosial TikTok, yang memaparkan beberapa kenderaan meredah air di laluan keluar Jabor adalah tidak tepat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, sebaliknya lokasi sebenar laluan dinaiki air adalah di hadapan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), di Jalan Pintasan Sungai Ular, Kuantan ke Kemaman, Terengganu.

"Kita sahkan laluan itu dinaiki air, tetapi lokasinya bukan seperti tular di platform media sosial TikTok oleh seorang individu.

"Lokasi itu biasa dinaiki air setiap kali hujan lebat dan setakat ini keadaan air di lokasi telah pun surut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis malam, satu video berdurasi sembilan saat tular menerusi media sosial TikTok oleh @hajihanifiahmad yang memaparkan beberapa kenderaan meredah air banjir di dua-dua laluan di laluan keluar Jabor, Kuantan.

Selain itu, turut tular makluman mengenai hampir 3,000 penduduk di Sungai lembing telah dipindahkan. 'Ya Allah Selamatkan kami semua Pray For Kuantan'.

Mengulas lanjut mengenai penularan maklumat dan video terbabit, Wan Mohd Zahari menasihati orang ramai tidak menularkan sebarang berita, gambar atau video yang tidak benar.

Menurutnya, tindakan itu boleh menimbulkan situasi panik kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa jika berlakunya banjir.

"Kalau pihak berkuasa arah berpindah, kita patuh kepada arahan mereka.

"Kita juga minta supaya pengguna jalan raya tidak mengambil risiko melalui jalan dinaiki air dan yang telah ditutup," katanya.