Kes bunuh Jalan Ampang, tiga lelaki ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian bunuh di Jalan Ampang di sini pada Selasa berjaya ditahan oleh pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat pada Rabu sekitar jam 1.03 pagi melaporkan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kepala berlumuran darah.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat seorang saksi yang terlihat mangsa dipukul oleh tiga orang suspek pada Selasa sekitar jam 6 petang di sini.

"Pada 29 Disember sekitar jam 4 petang hingga 8.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 32 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut.

"Dua lelaki ini direman selama tujuh hari mulai 30 Disember (Khamis) hingga 5 Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil soal siasat pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun pada Khamis yang merupakan suspek utama pembunuhan tersebut.

"Bahagian D9 JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dengan dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah berjaya menangkap suspek utama.

"Permohonan reman akan dipohon pada 31 Disember (Jumaat),"katanya

Artikel Berkaitan:

Katanya, motif kejadian tersebut masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke bilik gerakan khas 24 jam JSJ Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," ujarnya.