Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari dagangan terakhir 2021

Bursa Malaysia rendah pada sesi awal Jumaat yang juga hari dagangan terakhir 2021. - Gambar hiasan
Bursa Malaysia rendah pada sesi awal Jumaat yang juga hari dagangan terakhir 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia rendah pada sesi awal Jumaat yang juga hari dagangan terakhir 2021, namun pasaran dijangka menyaksikan satu lagi pusingan aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun jika momentum peningkatan sedia ada berterusan, kata peniaga.

Pada jam 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.14 mata kepada 1,541.47 selepas ditutup pada 1,543.61 semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 0.62 mata kepada 1,542.99.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 119 berbanding 114 manakala 210 kaunter tidak berubah, 1,847 tidak diniagakan dan 31 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 118.36 juta unit bernilai RM39.27 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya berkata, saham-saham penjagaan kesihatan dijangka menyaksikan aktiviti dagangan susulan kebimbangan terhadap varian Omicron yang masih ada.

Bagaimanapun, katanya, peserta pasaran dijangka lebih menumpukan sektor yang mencatat pemulihan berikutan Omicron tidak memberi impak dari segi pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

“Susulan aktiviti memperelok akaun pada masa ini, kami percaya peniaga akan terus menumpukan saham-saham wajaran tinggi. Peniaga juga dijangka memilih syarikat-syarikat dengan asas kukuh di bawah sektor pengguna yang mencatat pemulihan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menjangkakan sektor teknoologi kekal menjadi peneraju di masa terdekat berikutan unjuran mencatat peningkatan dalam keadaan pemulihan ekonomi ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing susut satu kepada RM8.29 dan RM4.14, Petronas Chemicals dan IHH tidak berubah pada RM8.79 dan RM6.78 manakala CIMB turun tiga sen pada RM5.38.

Bagi saham aktif, SMTRack dan WZ Satu naik satu sen kepada 18.5 sen dan 24.5 sen, waran Airasia menokok 20.5 sen kepada 21 sen manakala NCT, Destini and KNM pula tidak berubah masing-masing pada 51.5 sen, 18 sen dan 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah susut 4.48 mata kepada 12,075.63 manakala FBM ACE turun 13.09 mata kepada 6,380.57 dan Indeks FBM Emas berkurangan 9.90 mata kepada 10,880.39.

FBM 70 bagaimanapun naik 9.55 mata kepada 14,246.49.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.14 mata kepada 201.74, Indeks Perladangan turun 11.38 mata kepada 6,577.10 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 28.36 mata kepada 15,484.17. - Bernama