Selepas dua tahun derita, moga 2022 bawa lebih bahagia

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

ADUHAI, pandemik rupa-rupanya telah mengubah banyak sejarah.

Merak Jalanan tidak rasa teruja lagi melihat ‘kalendar kuda’.

Petak-petaknya kosong tidak lagi berwarna-warni.

Kalendar kuda sudah hilang seri!

Sebenarnya, setiap kali hujung tahun Merak Jalanan paling tak sabar nak tunggu kalendar tahun baharu.

Kalendar yang jadi kesukaan semestinya ‘kalendar kuda’ sebab mudah nak rujuk segala jenis cuti terutama cuti sekolah.

Ini bermakna, bermula tahun 2022, cuti sekolah tidak lagi terpakai melalui kalendar sebab iklim dan musim cutinya sudah berubah.

Bercerita tentang iklim, Merak Jalanan percaya kita semua semakin takut bila melihat langit mulai mendung atau apabila mendengar bunyi guruh.

Artikel Berkaitan:

Musibah banjir yang melanda baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan psikologi besar, tidak hanya kepada mangsa tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Merak Jalanan boleh katakan tahun 2021 ditutup dengan insiden yang ‘menyakitkan’.

Benar, langit memang tidak akan selalu cerah.

Sejak awal 2020 hinggalah hujung 2021, macam-macam cabaran, dugaan dan ujian yang kita semua lalui.

Di media sosial, muncul usikan-usikan warganet yang sibuk hendak mengaitkan bencana besar dengan figura seorang perdana menteri.

Kata mereka, ‘yang dulu’ elok-elok sahaja angkat sumpah, kes pandemik Covid-19 mencanak-canak naik.

‘Yang sekarang’ pula, elok-elok selesai menilai prestasi dan kejayaan, diduga pula banjir besar.

Suratan atau kebetulan – ini bukan masa untuk kita ulas. Satu perkara yang kita perlu ingat, takdir tidak boleh diubah. Pasti ada hikmah di sebalik musibah.

Esok tahun baharu 2022, apa pula agaknya yang akan berlaku.

Tak payah susah-susah meramal, ALLAH SWT sudah beri signal supaya kita lebih banyak buat amal!