KL City jangan jadi Flood City

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SELAMA hampir 10 tahun menjadi warga kota, penulis perhatikan Kuala Lumpur kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat lebih dua jam.

Situasi itu biasanya dapat dilihat setiap petang musim tengkujuh pada hujung tahun dan ketika itu media pasti akan melaporkan beberapa jalan dinaiki air atau beberapa kenderaan terkandas susulan banjir kilat.

Penulis masih ingat beberapa kejadian, antaranya banjir kilat di hadapan pintu masuk Universiti Malaya (UM) pada 2016 menyebabkan lebih 10 kereta tenggelam dan terperangkap selepas air mencecah paras 0.5 meter di jalan berkenaan.

Namun, hujan berterusan yang melanda Lembah Klang pada 17 dan 18 Disember lalu benar-benar menguji tahap keupayaan sistem saliran di Kuala Lumpur.

Ternyata, perancang bandar dan jurutera yang bertanggungjawab dalam pelan serta reka bentuk sistem saliran di Kuala Lumpur bukan calang-calang orangnya.

Walaupun Kuala Lumpur turut berdepan banjir, impaknya tidak seteruk di Taman Sri Muda, Hulu Langat, Klang dan Shah Alam.

Di Kuala Lumpur, tiada kawasan tenggelam hingga paras leher (satu meter) dan tiada juga penduduk yang terperangkap di rumah selama berhari-hari menunggu kehadiran bot untuk menyelamatkan mereka.

Rakan-rakan pemberita pula lebih memberi tumpuan kejadian banjir di Selangor, berbanding di ibu kota ketika itu yang secara langsung menunjukkan kesan banjir dialami Kuala Lumpur tidak seteruk di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) – projek menelan kos jutaan ringgit yang pernah didakwa gagal telah menyelesaikan banjir kilat di ibu kota.

Sebanyak lima juta meter padu air banjir berjaya dilencongkan daripada memasuki Kuala Lumpur menggunakan Terowong SMART, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Lencongan SMART telah mula diaktifkan sehingga mod empat pada jam 7.45 malam 18 Disember dan pada 19 Disember, lencongan telah diturunkan kepada mod satu.

Pencapaian tersebut boleh dibanggakan. Namun, itu tidak bermakna pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) boleh mengambil mudah isu infrastruktur serta saliran di Kuala Lumpur.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2019 mengenai enam kolam takungan banjir yang berfungsi untuk mengatasi masalah banjir telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pembangunan harus diteliti.

Enam kolam tadahan yang dimaksudkan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pada Selasa ketika beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami banjir terburuk nyata membuatkan ramai prihatin dan membuka mata tentang kepentingan tebatan banjir.

Kolam takungan yang sepatutnya dibangunkan bagi tujuan tebatan banjir tidak mencapai objektifnya apabila sebahagian besar kolam tersebut ditukar kepada pelan pembangunan.

Dalam laporan Sinar Harian pada Khamis, bekas Pengerusi MC Villamas 1, Vincent Yap berkata, situasi tersebut berlaku di kolam takungan Nanyang, Wahyu dan Delima di Kuala Lumpur selepas dua projek perumahan mega telah dibangunkan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, salah satu projek telah siap pada 2017 dan diduduki, manakala satu lagi projek dalam proses pembinaan dan terdapat beberapa lagi kawasan dalam proses pembangunan.

Jelas beliau lagi, penduduk pernah menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan dan kesan impak ke atas alam sekitar sebelum ini, malah bantahan juga dikemukakan kepada pihak DBKL tetapi kebenaran perancangan masih diluluskan.

Kuala Lumpur – namanya diambil kerana dahulunya kawasan itu berlumpur.

‘Kuala’ bermaksud penyudah aliran hilir sungai, manakala ‘Lumpur’ pula bermaksud tanah yang bercampur dengan air kesan aktiviti perlombongan biji timah.

Bukan sekejap masa diambil untuk menjadikan Kuala Lumpur gah seperti hari ini.

Namun, janganlah kerana terlalu rancak dengan pembangunan akhirnya hasrat menjadikan KL City sebagai bandar berkelas dunia bertukar menjadi Flood City.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur