Budaya sukan negara masih lemah

Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bersorak gembira selepas memenangi pingat gangsa acara badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai lalu. (Gambar kecil: Dr Ramlan Abd Aziz)
Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bersorak gembira selepas memenangi pingat gangsa acara badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai lalu. (Gambar kecil: Dr Ramlan Abd Aziz)
A
A
A

BUDAYA sukan yang lemah di negara ini menjadi antara faktor yang menyebabkan pencapaian dan prestasi atlet negara kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan yang disertai sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, hanya beberapa ‘kejayaan kecil’ yang mampu dijelmakan atlet negara pada beberapa kejohanan yang dilihat masih belum dapat memberikan impak besar kepada industri sukan Malaysia.

Justeru, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, landskap sukan negara harus berubah jika mahu memastikan atlet negara mencapai kejayaan yang diinginkan pada masa hadapan.

“Secara peribadi, saya berpandangan dengan perubahan landskap sukan negara, ia mampu menjamin sustainable success buat atlet negara di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Memang ada kejayaan tetapi masih kecil, ia belum benar-benar memberikan impak berharga daripada sukan berprestasi tinggi yang boleh memberikan keuntungan kepada masyarakat.

“Bagi mendapatkan sustainable success, kita patut ubah budaya sukan di negara ini. Memanglah kita kena raikan kemenangan dan kejayaan, tetapi selepas itu kita kena cepat-cepat tengok misi seterusnya, kaji untuk kita terus bergerak ke depan.

“Kita juga sebenarnya perlu melihat kepada proses yang menyumbang kepada kemenangan atau kekalahan itu kerana ia adalah perkara penting. Kalau berjaya, bermakna proses itu betul, begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, pencapaian atlet negara sepanjang tahun 2021 masih kurang memuaskan apabila menyaksikan hanya beberapa kejayaan diraih dalam beberapa kejohanan sukan yang disertai.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramlan menegaskan, krisis pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan terhadap pencapaian kurang memberangsangkan atlet negara di pentas antarabangsa.

“Betul, tidak dinafikan masalah ini (Covid-19) telah mengganggu gugat persiapan atlet, tetapi jangan kita jadikan ia sebagai alasan. Bagaimana pula dengan atlet dari negara lain?

“Di sebalik keputusan menang atau tewas, kita juga harus tengok sejauh mana atau mutu prestasi kita kerana ia menggambarkan kecemerlangan proses yang telah kita laksanakan selama ini,” jelasnya.

Mengenai cabaran atlet negara menjelang tiga temasya besar tahun depan - Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA, Ramlan berkata, ia perlu melibatkan dua aspek penting iaitu pengurusan program dan pengurusan prestasi.

“Kedua-dua aspek berkenaan perlu dipastikan berjalan dengan baik bagi memastikan kecemerlangan atlet. Jadi MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) harus memainkan peranan masing-masing.

“Pada masa sama, atlet itu sendiri perlu ada cita-cita serta keinginan untuk mencapai kejayaan melebihi orang lain dan peranan MSN dan ISN adalah untuk membantu atlet-atlet berkenaan,” ujarnya.